AM

"Terlajak Kata Buruk Padahnya" - Fahmi

08/06/2026 04:04 PM

PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Fahmi Fadzil memberi peringatan supaya pemimpin politik lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang enggan bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau secara ringkas berkata: “Terlajak kata buruk padahnya”.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi ditemui selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut hadir pada sesi itu mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil pendirian terlalu tegar dalam soal kerjasama politik kerana keadaan boleh berubah pada masa hadapan.

“Jangan rosakkan hubungan. Sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada. Kita tidak tahu apa takdir yang mendatang jadi jangan terlalu ekstrem, jangan terlalu jumud,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz berkata bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi BN Johor itu turut menegaskan beliau lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan