AM

KL Wellness City, OCBC Jalin Kerjasama Strategik Sokong Profesional Penjagaan kesihatan

09/06/2026 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- KL Wellness City (KLWC) dan OCBC Bank (Malaysia) Bhd menjalinkan kerjasama strategik melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU),  bertujuan memperkasakan inisiatif penjagaan kesihatan bersepadu, kesejahteraan, gaya hidup, perlindungan dan perkhidmatan kewangan.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan KLWC Datuk Dr Colin Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Tan Chor Sen, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk inovasi serta kerjasama rentas sektor dalam ekosistem penjagaan kesihatan di negara ini. 

Komponen utama kerjasama itu ialah pengenalan Program Medipreneur OCBC, iaitu penyelesaian kewangan, pajakan dan perlindungan tiga dalam satu yang direka khusus untuk profesional penjagaan kesihatan, termasuk pembeli Medical Suites di The Nobel Healthcare Park di bawah KLWC.

Menerusi kolaborasi berkenaan membolehkan doktor yang berhasrat membeli, memiliki atau menyewa suite perubatan serta menubuhkan klinik sendiri dalam KLWC untuk menikmati pakej pembiayaan, pajakan dan perlindungan khas hasil kerjasama antara KLWC dan kumpulan syarikat OCBC

Lee berkata perkongsian itu memperkukuh pendekatan KLWC berasaskan ekosistem dengan mengintegrasikan pemerkasaan kewangan dalam pembangunan penjagaan kesihatan.

“Kerjasama itu meningkatkan keupayaan kami untuk membantu profesional penjagaan kesihatan bukan sahaja untuk memulakan amalan mereka, malah mengekalkan serta mengembangkannya dalam ekosistem yang komprehensif,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian kerjasama itu, di sini hari ini.

Di bawah program itu, OCBC akan menyediakan pembiayaan perniagaan dan penyelesaian modal kerja hingga RM300,000 kepada profesional penjagaan kesihatan tanpa perlu cagaran, margin pembiayaan hingga 100 peratus, kelulusan dalam tempoh 48 jam dan tempoh pembiayaan hingga tiga tahun.

Subsidiarinya, PAC Lease pula akan menawarkan pembiayaan bagi pemerolehan peralatan perubatan, kerja pengubahsuaian dan fit-out hingga RM300,000 tanpa cagaran.

Turut ditawarkan penyelesaian perniagaan tambahan termasuk deposit permulaan lebih rendah bagi akaun perniagaan, penyelesaian e-Invois serta antara muka atur cara aplikasi (API).

Sementara itu, Great Eastern akan menyediakan penyelesaian insurans meliputi operasi perniagaan serta perlindungan liabiliti profesional doktor, termasuk rebat 10 peratus ke atas premium insurans liabiliti profesional.

Profesional penjagaan kesihatan juga akan menerima manfaat pakej penubuhan perniagaan eksklusif, termasuk sesi konsultasi individu secara percuma serta pakej sokongan promosi.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam inisiatif penglibatan bersama termasuk acara terpilih, sesi perkongsian ilmu dan platform rangkaian untuk profesional penjagaan kesihatan.

OCBC akan menyertai program terpilih melalui pasukan sokongannya yang ditempatkan di KL Wellness City Gallery, dengan menyediakan taklimat produk serta sesi khidmat nasihat kewangan.

Sementara itu, Tan berkata kolaborasi itu selaras dengan komitmen OCBC untuk menyokong profesional penjagaan kesihatan melalui penyelesaian kewangan holistik dan perkongsian ekosistem.

Beliau berkata sektor kesihatan di Malaysia dijangka terus mengalami perkembagan yang didorong oleh perubahan demografi, peningkatan kesedaran kesihatan serta pelaburan berterusan sektor awam dan swasta.

“Pada hari ini profesional penjagaan kesihatan bukan sahaja berperanan sebagai pengamal perubatan tetapi juga pemilik perniagaan yang memerlukan sistem sokongan kewangan untuk mengurus dan mengembangkan amalan mereka.

“Melalui Program Medipreneur, kami berhasrat menyediakan penyelesaian bersepadu yang memudahkan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Tan menyifatkan kerjasama dengan KLWC sebagai perkongsian strategik pertama di bawah Program Medipreneur OCBC, dan menjadi asas kepada kerjasama pada masa hadapan dalam sektor penjagaan kesihatan.

KLWC yang terletak di Bukit Jalil ialah bandar raya kesejahteraan bersepadu pertama di Asia Tenggara yang dibangunkan khas di atas kawasan seluas 26.5 ekar.

Pembangunan itu disokong oleh Hospital Antarabangsa KL, sebuah hospital swasta tertiari yang dirancang dengan kira-kira 1,000 katil serta dilengkapi ciri hospital pintar berteknologi maju, bersama The Nobel Healthcare Park yang menempatkan ruang perubatan, persekitaran yang sejahtera, komersial, perniagaan dan runcit yang dijadualkan untuk penyerahan pada Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan