AM

Kerajaan Disaran Wujud Mekanisme Bantuan Khas Kepada Veteran, Bekas Pengamal Media

12/06/2026 11:35 AM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan disaran mempertimbangkan mekanisme bantuan khusus kepada golongan veteran atau bekas pengamal media sebagai menghargai sumbangan mereka kepada industri kewartawanan negara selain meringankan beban kehidupan selepas bersara.

Ketua Biro Sinar Harian Perak Saifullah Ahmad berkata antara bantuan yang wajar dipertimbangkan ialah pemberian akses rawatan percuma di premis kesihatan kerajaan, sama seperti kemudahan yang dinikmati penjawat awam.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos rawatan, malah menjadi tanda penghargaan terhadap jasa pengamal media yang banyak menyumbang kepada penyebaran maklumat serta pembangunan negara.

“Ada kalangan pengamal media yang telah bersara berhadapan pelbagai masalah kesihatan akibat faktor usia dan tekanan kerja sepanjang kerjaya mereka. Bantuan rawatan percuma ini mampu memberi kelegaan kepada golongan itu,” katanya kepada Bernama.

Saifullah berkata usaha mengumpul data dan maklumat lengkap bekas pengamal media perlu diberi perhatian termasuk menerusi persatuan atau kelab media negeri, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Senada ialah jurugambar The Star Ronnie Chin Foon Kheng, 53, yang berkata sebahagian bekas pengamal media berhadapan cabaran kehidupan apabila semakin meningkat usia, khususnya melibatkan masalah kesihatan dan sumber pendapatan semakin terhad.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan peruntukan kesihatan untuk golongan ini termasuk bantuan rawatan, pemeriksaan kesihatan berkala dan sokongan perubatan bagi meringankan beban mereka,” katanya yang mempunyai pengalaman kira-kira 25 tahun dalam bidang fotografi.

Selain itu, Chin berkata bantuan sara diri atau elaun khas wajar dipertimbangkan kepada bekas pengamal media yang sudah tidak lagi bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap supaya dapat membantu mereka meneruskan kehidupan selain mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sementara itu, wartawan Stesen Televisyen Malaysia Bhd (TV3) Shaharil Kadir, 48, mencadangkan kad khas untuk pengamal media veteran diwujudkan bagi memudahkan penyaluran bantuan dan kemudahan kepada golongan itu dengan lebih sistematik.

Beliau berkata kad itu boleh dijadikan medium rasmi untuk membolehkan pemegangnya menikmati pelbagai keistimewaan dan kemudahan, khususnya di fasiliti awam serta agensi kerajaan.

“Insiatif kad khas itu boleh diperluas dengan menawarkan pelbagai insentif seperti diskaun tiket penerbangan serta tambang pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kos sara hidup golongan tersebut,” katanya.

Shaharil berkata kerjasama strategik dengan pihak swasta juga wajar diperkukuh bagi membolehkan pemegang kad menerima harga istimewa atau diskaun bagi pelbagai produk dan perkhidmatan, terutamanya semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) berlangsung.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kelab media negeri di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) diminta mengemukakan usul khusus bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media termasuk mewujudkan mekanisme yang lebih tersusun untuk membantu golongan veteran industri itu.

Fahmi berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan sebelum sambutan HAWANA bagi membolehkan satu rangka kerja yang lebih sistematik disediakan untuk kebajikan bekas pekerja sektor media.

Beliau berkata terdapat bekas pengamal media yang berasa terpinggir selepas bersara manakala sebahagian lagi memilih untuk meneruskan kehidupan dengan lebih peribadi, justeru pendekatan lebih tersusun dapat membantu mereka yang masih memerlukan sokongan sosial dan kebajikan.

Sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun dan dijangka menghimpunkan  kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dengan acara kemuncak dijadualkan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pengamal media kepada pembangunan negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan