KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Sektor pembuatan Malaysia meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM175.0 bilion pada April 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM dalam kenyataan hari ini, peningkatan itu disumbangkan terutama oleh pertumbuhan dalam subsektor peralatan elektrik dan elektronik (E&E), dan pertumbuhan jualan sektor pembuatan adalah lebih tinggi daripada 5.3 peratus yang dicatatkan pada Mac 2026.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peralatan subsektor E&E meningkat 13.4 peratus pada April 2026 daripada 13.3 peratus pada Mac.
“Pertumbuhan ini turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau dan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik, yang masing-masing meningkat sebanyak 9.0 peratus dan 4.4 peratus.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 1.1 peratus daripada RM173.1 bilion yang direkodkan pada Mac 2026,” katanya.
Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.6 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 9.6 peratus pada April 2026 berbanding 6.5 peratus pada bulan sebelumnya.
“Prestasi ini ditunjangi oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal pada 15.0 peratus pada April 2026 berbanding 15.2 peratus pada Mac 2026.
Selain itu, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan juga mencatatkan kenaikan 11.0 peratus daripada 10.2 peratus pada Mac 2026 manakala pembuatan kok dan produk petroleum bertapis tumbuh 5.3 peratus selepas menyusut 2.8 peratus pada bulan sebelumnya,” menurut DOSM.
Bagaimanapun, nilai jualan industri berorientasikan eksport menyusut 0.5 peratus berbanding pada bulan sebelumnya.
Pada masa yang sama, industri berorientasikan domestik meningkat 7.8 peratus pada April 2026, selepas mencatatkan 2.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Prestasi ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam pembuatan produk pemprosesan makanan sebanyak 5.8 peratus daripada 5.0 peratus pada Mac 2026 serta dalam pembuatan produk galian bukan logam lain dan pembuatan logam asas, masing-masing meningkat 8.8 peratus dan 6.4 peratus.
“Industri berorientasikan domestik mengembang 5.1 peratus, berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan,” menurut DOSM.
Mengenai bilangan pekerja Mohd Uzir berkata sejumlah 2.4 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada April 2026, bertambah sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun.
“Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau iaitu 2.2 peratus; diikuti dengan pertumbuhan susbektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka iaitu 1.7 peratus dan subsektor peralatan E&E sebanyak1.5 peratus.
“Bilangan pekerja dalam sektor ini melonjak 0.7 peratus bagi perbandingan bulan ke bulan,” kata Mohd Uzir.
Gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM8.56 bilion pada April 2026.
Gaji dan upah yang dibayar meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan manakala nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM71,993 manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,524, bertambah baik sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun.
Bagi tempoh Januari-April 2026, nilai jualan pembuatan meningkat 6.4 peratus kepada RM676.5 bilion manakala bilangan pekerja meningkat 1.2 peratus kepada 2.4 juta dan gaji serta upah meningkat 2.5 peratus kepada RM34.4 bilion
“Nilai jualan setiap pekerja berjumlah RM278,344, meningkat 5.1 peratus,” menurut DOSM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial