JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Ketepi Notis Pihak Ketiga Thomas Untuk Masukkan Idrus Harun Dalam Saman Shahrir

12/06/2026 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan dan dua lagi pihak untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang difailkan oleh bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas.

Thomas gagal dalam usahanya untuk memasukkan Tan Sri Idrus Harun sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung dakwaan melakukan pendakwaan berniat jahat.

Hakim Gan Techiong memutuskan bahawa ia adalah hak prerogatif plaintif untuk menentukan siapa yang dinamakan sebagai defendan, dan mengambil maklum bahawa Shahrir memilih untuk tidak menamakan Idrus dalam saman sivil berkenaan.

Beliau berkata sebagai defendan pertama, Thomas tidak akan mengalami sebarang prejudis sekiranya prosiding pihak ketiga itu diketepikan kerana masih berhak untuk memanggil Idrus sebagai saksi sekiranya perlu.

“Hak perlembagaan defendan pertama tidak terjejas dengan ketiadaan penggantinya sebagai pihak ketiga dalam saman sivil ini.

“Saya berpendapat permohonan defendan kedua, ketiga dan keempat untuk mengetepikan notis pihak ketiga wajar dibenarkan bagi mengelakkan pembaziran kos terhadap defendan keempat (kerajaan),” katanya.

Selain kerajaan, dua lagi defendan ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, dan SPRM. 

Beliau berkata memandangkan kerajaan akan menanggung liabiliti secara vikarius jika mahkamah mendapati defendan pertama, kedua dan ketiga bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada plaintif, maka tiada asas untuk defendan pertama menuntut indemniti daripada pihak ketiga.

“ … defendan pertama (Thomas) boleh berasa yakin bahawa jika mahkamah mendapati beliau perlu membayar apa-apa pampasan kepada plaintif, defendan keempat akan menanggung liabiliti vikarius untuk membayar kepada plaintif,” katanya. 

Pada 30 Jan tahun ini, Thomas memperoleh kebenaran melalui permohonan ex parte untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap Idrus. Beliau menuntut indemniti penuh atau sumbangan daripada Idrus sekiranya mahkamah memutuskan defendan pertama perlu membayar ganti rugi kepada plaintif.

Thomas berpendirian bahawa oleh kerana peletakan jawatan beliau adalah pada Feb 2020, beliau tidak lagi terbabit dalam pendakwaan ke atas plaintif, dan Idrus yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman sivil ini ialah AG ketika perbicaraan berlangsung, menyaksikan 22 saksi yang dipanggil sebelum ini dilepaskan atas permintaan pendakwa pada 5 Jan 2023.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Shahrir, manakala Mervyn Lai dan Haikaldin Mahyidin mewakili Thomas. Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom mewakili defendan kedua, ketiga dan keempat.

Saman bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterimanya daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas yang berkhidmat sebagai AG dari Jun 2018 hingga Feb 2020 menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa, dan menyifatkan ia sebagai “tidak boleh dipertahan”, dan turut menjelaskan yang beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan perbicaraan kes jenayah Shahrir bermula pada 26 Julai 2022.

Pada 5 Jan 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan sebanyak RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Perbicaraan kes saman ini ditetapkan pada 19 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan