AM

Tiga Kanak-kanak Indonesia Diabai Sejak Lahir Kembali Ke Pangkuan Keluarga

12/06/2026 04:58 PM

GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Tiga kanak-kanak Indonesia yang berada di bawah jagaan dan perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disatukan semula dengan keluarga mereka di negara asal menerusi proses penghantaran pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata tiga kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun itu sebelum ini ditempatkan di bawah perlindungan JKM selepas didapati diabaikan sejak lahir.

Beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan waris mereka di Indonesia untuk memastikan hak kanak-kanak membesar dalam persekitaran keluarga dapat dipenuhi.

“Usaha mengesan ahli keluarga berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara JKM, Konsulat Jenderal Republik Indonesia dan Jabatan Imigresen (JIM). 

“Selepas waris berjaya dikenal pasti, proses dokumentasi dan urusan penghantaran pulang diselaraskan oleh semua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata kejayaan itu membuktikan kerjasama rentas agensi dan hubungan baik antara dua negara mampu memberikan penyelesaian terbaik demi kepentingan kanak-kanak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Konsul Konsuler II daripada Konsulat Jenderal Republik Indonesia Nelvy Meilia Syah, Pengarah JKM Pulau Pinang Rozita Ibrahim, JIM dan seluruh pasukan Bahagian Kanak-Kanak JKM atas komitmen serta kerjasama sepanjang proses itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan