AM

Pemasyhuran Tunku Zain Al-'Abidin Selari Penglibatan Dalam Pendidikan, Pembangunan Belia

12/06/2026 06:38 PM

SEREMBAN, 12 Jun (Bernama) -- Pemasyhuran Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dilihat selari dengan penglibatan aktif baginda dalam bidang pendidikan, pembangunan belia dan kemasyarakatan.

Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Faizal Kasmani berkata sebagai Pro-Canselor USIM sejak Disember 2024, baginda menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap pembentukan mahasiswa yang holistik.

“Penglibatan baginda dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan memberi inspirasi besar kepada warga universiti untuk lebih dekat dengan masyarakat termasuk menerusi inisiatif Jaulah Sukarelawan USIM Living Lab 3.0 yang menyantuni golongan gelandangan dan miskin bandar.

“Saya percaya pemasyhuran tersebut akan terus memperkukuh peranan baginda sebagai sumber inspirasi kepada mahasiswa untuk menjadi graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi berakhlak, prihatin dan bersedia memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Faizal berkata Tunku Zain Al-’Abidin juga seorang yang bersederhana, mesra rakyat dan cakna terhadap keperluan masyarakat termasuk golongan kurang upaya yang jelas dapat dilihat menerusi kerjasama antara IDEAS Autism Centre dengan USIM.

Beliau berkata hubungan antara institusi diraja dan sektor pendidikan tinggi sentiasa rapat menerusi komitmen bersama dalam pembangunan ilmu serta kebajikan rakyat, dan pemasyhuran itu diyakini akan terus memperkukuh agenda berkenaan.

Dalam pada itu, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah@ Noghori Arts School, Nor Hayati Abdul Rahman menyifatkan baginda sebagai contoh terbaik pemimpin berjiwa pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan bakat seni.

“Baginda membuktikan akademik dan kreativiti boleh bergerak seiring. Sebagai lulusan London School of Economics and Political Science dan pemain piano berbakat, baginda menjadi inspirasi kepada pelajar untuk berkembang secara holistik yang bukan hanya fokus pada peperiksaan tetapi mengasah bakat seni.

“Gubahan semula Lagu Kebesaran Negeri Sembilan oleh baginda adalah karya yang sangat memukau. Saya sering kongsikan kisah ini dengan pelajar bahawa seni dan bakat diraja mampu mengangkat martabat identiti negeri kita,” katanya.

Nor Hayati berkata minat Tunku Zain Al-’Abidin terhadap muzik turut menjadi medium universal yang merapatkan jurang antara istana dengan rakyat, sekali gus menyerlahkan keperibadian baginda yang sangat mesra.

“Tunku Zain Al-’Abidin kerap bermain piano di hadapan rakyat sewaktu Sambutan Hari Keputeraan ayahanda baginda malah baginda turut tidak kekok untuk bermain piano bersama-sama warga sekolah setiap kali menghadiri program pendidikan termasuk mencemar duli ke sekolah kami,” katanya.

Semalam, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memasyhurkan Tunku Zain Al-'Abidin yang juga putera kedua baginda sebagai Tunku Panglima Besar dalam istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Tunku Zain Al-'Abidin, 44, diputerakan pada 1982 dan dikenali sebagai pendukung pemulihan perlembagaan serta reformasi institusi di Malaysia yang komited ke arah pembinaan negara yang adil dan saksama.

Selain memegang jawatan Pro-Canselor USIM, baginda kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Presiden Kolej ICAN, Felo Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Felo Bersekutu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Baginda juga merupakan Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah dan Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan yang aktif memperjuangkan akses pendidikan berkualiti dan pembelajaran holistik bagi melahirkan pemimpin masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan