AM

Great Eastern Takaful Bawakan Kempen #BuktiCintaAbadi Menerusi Acara Pengaktifan Emas Bersama Habib

12/06/2026 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) --  Great Eastern Takaful Berhad (GETB) menganjurkan kempen #BuktiCintaAbadi menerusi Acara Pengaktifan Emas eksklusif dengan kerjasama jenama barang kemas terkemuka HABIB, yang menawarkan pengalaman unik menghubungkan perlindungan kewangan dengan nilai emas yang berkekalan.

GETB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa acara dua hari yang berlangsung pada 6 hingga 7 Jun di cawangan mercu tanda HABIB di Jalan Bunus, di sini, mengetengahkan bagaimana perancangan kewangan boleh menjadi lambang kasih sayang, keprihatinan dan legasi jangka panjang yang bermakna. Acara itu menghimpunkan kira-kira 100 tetamu jemputan, termasuk perunding takaful, pelanggan dan prospek terpilih.

Bertemakan #BuktiCintaAbadi, kempen tersebut melangkaui pendekatan penglibatan konvensional, mencerminkan komitmen GETB terhadap inovasi berpusatkan pelanggan, serta usaha membantu rakyat Malaysia memahami kepentingan perlindungan kewangan melalui konsep pemvisualan nyata dan mudah difahami.

“Antara tarikan utama pengaktifan itu ialah pameran istimewa yang menterjemahkan angka kewangan kepada bentuk fizikal, membolehkan para tetamu membayangkan nilai RM500,000 menerusi paparan barang kemas yang setara bersama-sama sebatang jongkong emas seberat satu kilogram, sekali gus menjadikan konsep kewangan yang abstrak lebih mudah difahami, diingati dan memberi kesan.

“Bagi meningkatkan lagi penglibatan pengunjung, tetamu turut berpeluang menikmati pengalaman di reruai fotografi berkuasa kecerdasan buatan (AI), yang menghasilkan imej peribadi mereka dihiasi barang kemas emas, sekali gus memberikan gambaran kreatif tentang keyakinan dan rasa selamat yang dikaitkan dengan perlindungan kewangan,” menurut kenyataan itu.

Wakil GETB Jasveen Marne berkata kempen itu, direka untuk merapatkan jurang antara kesedaran dan pemahaman mengenai perlindungan kewangan.

“#BuktiCintaAbadi berasaskan realiti yang mudah. Banyak rakyat Malaysia memahami kepentingan perlindungan kewangan, tetapi sering sukar mengaitkannya dengan nilai sebenar dalam kehidupan harian.

“Kerjasama kami dengan HABIB, bertujuan merapatkan jurang itu dengan menjadikan hasil kewangan lebih nyata dan mudah dihargai. Melalui pameran emas bernilai RM500,000, kami membantu pelanggan memahami dengan lebih jelas apa yang mereka usahakan dan mengapa ia penting,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata selain meningkatkan kesedaran, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada menggalakkan tindakan melalui sesi khidmat nasihat peribadi, bagi membantu individu mengambil langkah praktikal untuk memperkukuh perlindungan mereka dan merancang masa depan keluarga dengan lebih terarah.

“Akhirnya, #BuktiCintaAbadi adalah mengenai menukarkan niat yang baik kepada pelan yang konkrit, disokong oleh jaminan kewangan yang sebenar,” katanya.

Kempen yang berlangsung dari 9 Mei hingga 22 Jun tahun ini, disokong rangkaian penyelesaian takaful termasuk i-Great Evo, i-Great Nova, i-Great Chinta, i-Great Yaqeen dan i-Great Mega Plus, yang memenuhi keperluan individu serta keluarga pada pelbagai peringkat kehidupan dan keperluan perlindungan. Pelanggan yang layak juga berpeluang menerima hadiah loket emas eksklusif daripada HABIB, tertakluk kepada terma dan syarat.

Menurut kenyataan itu, menerusi inisiatif seperti Acara Pengaktifan Emas #BuktiCintaAbadi, GETB terus menunjukkan komitmennya terhadap inovasi berpusatkan pelanggan, penglibatan berasaskan pengalaman dan penyampaian penyelesaian kewangan yang bermakna, sekali gus memperkasakan individu serta keluarga untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan tenang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan