Oleh Farhana Abd Kadir
SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Tumpuan Kerajaan Negeri Selangor terhadap pembangunan koridor utara merangkumi Hulu Selangor dan Kuala Selangor, berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai hab ekonomi baharu negeri, khususnya sektor tenaga dan industri strategik untuk mengharungi cabaran krisis tenaga global.
Pakar Ekonomi UniKL Business School Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata ini berikutan kawasan terbabit memiliki pelbagai aset strategik seperti tanah luas, empangan, sumber tenaga suria, potensi tenaga angin, akses maritim serta kawasan tanah rata yang sesuai untuk pembangunan berskala besar.
Pada masa sama, pembangunan itu mampu menarik pelaburan industri bernilai tinggi, memperkukuh agenda tenaga baharu serta merangsang pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang Selangor.
“Langkah ini boleh dianggap sebagai proses penyusunan semula geografi ekonomi Selangor yang kesannya akan lebih ketara dalam tempoh 20 tahun akan datang.
“Koridor utara berpotensi berkembang sebagai Jalur Tenaga dan Industri Berat manakala Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang berpotensi muncul sebagai hab pelabuhan dan kimia hijau. Pada masa sama, Petaling Jaya dan Subang kekal sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan kewangan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini mengenai Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal dibentangkan dan memberi penekanan kepada pembangunan kawasan luar bandar termasuk Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Amirudin berkata pelan pembangunan lima tahun sehingga 2030 itu bukan sahaja bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan negeri.
Antara pendekatan utama RS-2 ialah model pembangunan berorientasikan misi yang dipelopori ahli ekonomi terkenal Mariana Mazzucato.
Mengulas selanjutnya, Aimi Zulhazmi berkata pendekatan berkenaan mampu dilaksanakan di Selangor namun perlu disesuaikan dengan aspek keperluan serta kelebihan tempatan.
“Pendekatan ini tidak boleh sekadar meniru model yang dilaksanakan di United Kingdom atau Amerika Syarikat. Dalam konteks semasa, isu harga gas asli cecair (LNG), tenaga solar dan infrastruktur grid adalah cabaran sistemik yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.
“Kawasan luar bandar menawarkan ruang lebih luas untuk pembangunan tenaga baharu berbanding kawasan bandar yang berdepan kekangan tanah dan kos pembangunan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris berkata strategi pembangunan koridor utara tidak hanya menumpukan usaha menarik pelaburan baharu, malah memastikan manfaat ekonomi turut dinikmati syarikat tempatan.
Kemasukan pelabur asing termasuk syarikat automotif China, Chery ke Hulu Selangor misalnya, dijangka membuka peluang kepada pembekal tempatan membekalkan komponen, bahan mentah dan perkhidmatan sokongan kepada operasi syarikat terbabit.
“Perancangan pembangunan kawasan ini turut menyediakan kapasiti dan ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan yang berpotensi supaya dapat beroperasi berhampiran pemain industri utama dan menjadi sebahagian daripada ekosistem sama,” katanya.
Hasan berkata Invest Selangor akan terus bertindak sebagai pemudah cara melalui program padanan perniagaan, sesi libat urus bersama pelabur dan kerjasama strategik dengan industri bagi membantu pembekal (vendor) tempatan memenuhi piawaian antarabangsa serta menembusi rantaian bekalan global.
Agensi itu turut memberi penekanan pembangunan bakat dan tenaga kerja tempatan bagi memastikan limpahan ekonomi daripada pelaburan dapat dinikmati masyarakat setempat, khususnya di Hulu Selangor dan Kuala Selangor, kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial