AM

HDC Sasar Bantu 200 Syarikat PMKS Dapat SPHM Menerusi Jelajah Halal Malaysia

13/06/2026 07:32 PM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 13 Jun (Bernama) -- Halal Development Corporation Berhad (HDC) menyasarkan untuk membantu 200 syarikat, khususnya usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tahun ini menerusi program Jelajah Halal Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim HDC Hanisofian Alias berkata Melaka menjadi negeri pertama penganjuran Jelajah Halal Malaysia tahun ini dan inisiatif itu akan diperluaskan ke beberapa negeri lain, termasuk Kedah, Sabah dan Terengganu.

Beliau berkata menerusi program berkenaan, peserta akan diberi pendedahan mengenai Program Intervensi Mempercepatkan Keupayaan Pematuhan Halal (PIMKPH), selain berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada Pegawai Pembimbing Halal (PPH).

"Jelajah Halal Malaysia merupakan antara inisiatif utama HDC dalam usaha mendekati komuniti usahawan secara langsung dan program ini dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka selama dua hari bermula hari ini.

"Pendekatan ini amat penting bagi memastikan usahawan bukan sahaja memahami keperluan pensijilan halal, malah mampu melaksanakannya dengan lebih cekap dan berkesan demi memperkukuh asas perniagaan mereka serta berkembang ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama di Malim Food Town, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Halal Malaysia @ Karnival Usahawan Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin.

Hanisofian berkata setakat ini HDC mempunyai kira-kira 40 PPH di seluruh negara bagi membantu dan membimbing syarikat serta usahawan memperoleh SPHM.

"Pasaran eksport halal negara pada tahun ini amat besar dengan sasaran mencecah RM68 bilion. Namun, hasil kajian mendapati kira-kira 90 peratus pasaran eksport itu dikuasai syarikat besar, manakala syarikat kecil hanya menyumbang kurang daripada 10 peratus.

"Masih ramai usahawan PMKS di negara ini belum memperoleh SPHM. Antara punca yang dikenal pasti ialah persepsi bahawa proses mendapatkan pensijilan itu sukar, selain berdepan pelbagai isu termasuk gagal memenuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Beliau berkata menerusi jelajah berkenaan, usahawan akan diberikan khidmat nasihat berkaitan prosedur permohonan sijil halal serta sokongan teknikal, termasuk semakan dokumen secara terus.

Selain itu, katanya usahawan turut berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan bantuan kewangan untuk perniagaan mereka daripada pelbagai agensi pembiayaan yang terlibat dalam program berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Hanisofian berkata Melaka mempunyai potensi besar dalam pembangunan industri halal dan sehingga kini kira-kira 1,000 syarikat di negeri itu telah memiliki SPHM merangkumi sektor makanan dan minuman, logistik serta perkhidmatan.

Katanya Melaka juga merupakan antara negeri yang aktif membangunkan hab halal, antaranya menerusi perluasan Melaka Halal Hub 2.0. Perkembangan itu menunjukkan industri halal bukan sahaja berperanan sebagai pemacu ekonomi negeri, malah menjadi platform penting dalam memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat global.

Sementara itu, PPH HDC, Sharifah Rozi Md Ali berkata syarat untuk mendapatkan SPHM sememangnya ketat, namun usahawan akan dibimbing untuk memahami prosedur, proses dan penyediaan dokumen yang diperlukan bagi memperoleh pensijilan berkenaan.

"Halal merangkumi pelbagai aspek dan syarat yang perlu dipatuhi, bermula daripada sumber bahan mentah, peralatan yang digunakan, nama produk, proses penghasilan produk serta keadaan premis termasuk aspek kebersihan. Selain itu, pemegang sijil juga bertanggungjawab memastikan pematuhan berterusan terhadap pensijilan yang diperoleh dan penggunaan logo halal yang dibenarkan.

"Bagaimanapun, usahawan yang berhasrat mendapatkan SPHM tidak perlu takut atau bimbang kerana mereka akan dibimbing oleh PPH dari awal hingga akhir proses permohonan sehingga memperoleh sijil berkenaan," katanya.

Beliau berkata produk yang memiliki SPHM mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa kerana pensijilan itu mampu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk yang ditawarkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan