JOHOR BAHRU, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia dalam mengurus serta memperkasa Rumah Perantaraan di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peranan masyarakat amat diperlukan sebagai sistem sokongan bagi membantu golongan prospek, iaitu gelaran rasmi bagi banduan, menyesuaikan diri dengan kehidupan bermasyarakat selepas dibebaskan.
Beliau berkata penyediaan Rumah Perantaraan yang berfungsi sebagai pusat perlindungan sementara itu dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia selepas mendapati terdapat prospek yang berdepan kesukaran apabila keluarga atau masyarakat setempat enggan menerima mereka semula pada peringkat awal selepas pembebasan.
“Di situ mereka diberi tempat tinggal dan dibimbing. Dalam tempoh itu juga mereka boleh mendapatkan pekerjaan serta menjana pendapatan sehingga akhirnya diterima semula oleh keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ruang kerjasama antara NGO dan Jabatan Penjara Malaysia dalam membantu golongan berkenaan pada sesi Town Hall Menteri Dalam Negeri Bersama NGO MADANI Peringkat Negeri Johor 2026 di Dewan Cahaya, TNB Kempas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata sokongan NGO amat penting bagi memastikan prospek tidak berasa terasing atau dipulaukan sehingga dunia luar menjadi ‘penjara kedua’ kepada mereka.
“Di sinilah NGO boleh memainkan peranan dengan turut serta membantu prospek yang ditempatkan di Rumah Perantaraan. Ruang untuk penglibatan mereka memang tersedia,” katanya.
Menurut beliau, NGO boleh berperanan sebagai pengurus, penyedia latihan sokongan dan jambatan sosial yang membantu prospek diterima semula oleh keluarga serta masyarakat.
Melalui ekosistem itu, katanya prospek bukan sahaja diberikan perlindungan dan bimbingan, malah dibantu mendapatkan peluang pekerjaan serta sumber pendapatan bagi meneruskan kehidupan secara berdikari.
Setakat ini, sebanyak 20 Rumah Perantaraan beroperasi di seluruh negara sebagai pusat perlindungan sementara untuk tempoh maksimum tiga bulan bagi banduan pra-bebas dan bekas banduan yang telah selesai menjalani hukuman.
Inisiatif itu bukan sahaja berfungsi sebagai fasa transisi sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat, malah menjadi platform penting kepada NGO untuk melaksanakan program intervensi, sokongan moral dan bimbingan kerjaya bagi memastikan golongan berkenaan mampu berdikari sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial