KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM8 juta bagi kerja-kerja membaiki dan menaik taraf terowong Sungai Lembing di sini sebagai usaha merancakkan semula sektor pelancongan di kawasan itu yang terkenal dengan sejarah perlombongan bijih timah negara.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata peruntukan itu disalurkan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memulihara serta memperkasakan produk pelancongan warisan yang mempunyai nilai sejarah tinggi.
Beliau percaya projek naik taraf berkenaan mampu meningkatkan kembali daya tarikan pelancong ke Sungai Lembing, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Kerja-kerja naik taraf dijangka bermula tahun depan dan kita akan memastikan aspek keselamatan pengunjung diberi perhatian sepenuhnya sepanjang pelaksanaan projek serta selepas ia siap," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pementasan teater "The Stories Of Sungai Lembing” di Panggung PCCL, di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuantan Datuk Zaliza Zulkipli.
Mengenai pementasan teater itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata inisiatif itu bertujuan memperkasakan aktiviti pelancongan dan kebudayaan di pekan bersejarah tersebut, sementara menantikan terowong Sungai Lembing itu dibuka semula kepada orang ramai.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung, malah membantu merancakkan ekonomi setempat serta memperkenalkan sejarah Sungai Lembing kepada generasi muda.
“Pementasan ini berjaya mengembalikan keceriaan dan kegemilangan panggung wayang terawal di Pantai Timur suatu ketika dahulu kerana selepas satu dekad, panggung ini mula hidup dengan teater berkenaan,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya pementasan teater itu turut membantu mengetengahkan kawasan tarikan pelancongan lain di sekitar Sungai Lembing, antaranya perkampungan Orang Asli di Sungai Mas yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, selain Bukit Panorama dan Air Terjun Pelangi.
"Melalui pementasan ini, kita mahu pelancong dari dalam dan luar negara mengetahui bahawa Sungai Lembing bukan sahaja mempunyai terowong bersejarah, malah menawarkan pelbagai destinasi menarik yang wajar diterokai.
“Kerajaan akan terus memberi sokongan dengan memperbanyak lagi pementasan teater yang dapat mencerminkan sejarah setempat," katanya.
Pementasan “The Stories of Sungai Lembing” berlangsung dalam empat siri bermula hari ini sebelum diteruskan pada 11 Julai, 15 Ogos dan 12 Sept dengan dua sesi tayangan bagi setiap pementasan pada 11 pagi dan 3 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial