KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) Datuk Seri Sheikh Dr Mohammad Al-Issa berkata Malaysia memainkan peranan penting dan berkesan dalam memperkukuh nilai kesederhanaan (wasatiyyah) serta menampilkan model global yang boleh dicontohi dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau berkata Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan etnik berjaya hidup dalam suasana harmoni di bawah satu perlembagaan, berteraskan nilai-nilai murni, sistem perundangan yang maju serta amalan kemasyarakatan yang mencerminkan semangat perpaduan.
“Malaysia telah menampilkan model kehidupan bersama yang cemerlang berasaskan nilai toleransi. Dalam konteks kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia, umat Islam di negara ini telah membuktikan bahawa Islam ialah agama yang menekankan nilai toleransi, keterbukaan, kehidupan bersama serta rahmat kepada seluruh umat manusia,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Ulama Asia Tenggara Keempat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL di sini hari ini.
Mohammad berkata MWL sentiasa berusaha menjalin hubungan dengan Malaysia menerusi pelbagai platform, termasuk persidangan hari ini, kerana peranannya sebagai negara contoh dalam mengukuhkan nilai toleransi.
Persidangan Ulama Asia Tenggara Keempat menampilkan pembentang dan panelis terdiri daripada tokoh ilmuan terkemuka dari negara-negara ASEAN, menghimpunkan kira-kira 600 peserta dalam kalangan sarjana, mufti, ahli akademik, penyelidik dan cendekiawan Islam dari seluruh rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial