AM

HAWANA Fun Walk 2026: Kostum Taman Bunga Bawa Tuah Kepada Mami Nor

14/06/2026 02:55 PM

Oleh Siti Nur Athira Abdullah dan Yasmin Damia Mohd Rizal

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Inspirasi daripada suasana Taman Tasik Titiwangsa membawa tuah kepada seorang warga emas apabila kostum bertemakan taman bunga yang digayakannya dipilih sebagai pemenang kategori kostum terbaik pada HAWANA Fun Walk 2026, hari ini.

Noorsiah Yusoff, 69, atau lebih dikenali sebagai “Mami Nor”, mencuri perhatian peserta dan pengunjung apabila tampil dengan busana unik dihiasi aksesori rama-rama, bunga, serta lampu berwarna-warni yang menyerlahkan tema berkenaan.

Ibu tunggal yang bekerja sebagai penjual permainan kanak-kanak itu berkata, idea menghasilkan kostum berkenaan tercetus secara spontan selepas mengambil inspirasi daripada lokasi penganjuran program.

“Saya mendapat inspirasi daripada suasana taman di sini dan menggunakan kebanyakan bahan yang sedia ada di rumah untuk menghasilkan kostum ini.

“Saya sertai program ini sekadar untuk berseronok dan bertemu ramai orang. Kemenangan ini memang satu kejutan kerana busana ini disiapkan hanya dalam tempoh sehari sebelum acara berlangsung,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Noorsiah yang menetap di Setapak itu berkata dia sudah biasa menyertai pertandingan kostum dalam acara larian dan jalan santai sebelum ini, malah pernah meraih beberapa kemenangan.

Selain Noorsiah, pasangan rakan Noraini Sulaiman, 48, dan Sarinah Untong, 36, turut mencuri perhatian apabila tampil dengan kostum bertemakan Piala Dunia FIFA yang dihasilkan sendiri menggunakan bahan terpakai dari rumah.

Noraini berkata idea itu tercetus bagi memeriahkan suasana program, selain menampilkan kelainan menerusi rekaan kreatif yang dihasilkan secara ringkas.

“Kami buat sendiri sahaja menggunakan bahan yang ada di rumah. Kos keseluruhannya pun tidak sampai RM10,” katanya yang bekerja sebagai pegawai bank.

Walaupun hanya mengetahui mengenai pertandingan kostum itu sehari sebelum acara, kekangan masa tidak menghalang mereka untuk tampil kreatif dan menyertai dengan penuh semangat.

“Kami datang untuk bersantai dan menikmati suasana program. Pertandingan ini hanya menambah keseronokan,” katanya.

Kemeriahan HAWANA Fun Walk 2026 turut diserikan dengan pelbagai kostum unik lain, termasuk pramugari, kaftan dan watak animasi yang mencuri perhatian pengunjung di sekitar kawasan tasik.

Program itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer, malah menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana santai, mesra dan penuh warna-warni.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan