AM

KBS Setuju Tambah Peruntukan Dana Sukan Komuniti Pulau Pinang

14/06/2026 11:03 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju menambah peruntukan Dana Sukan Komuniti (DSK) bagi Pulau Pinang selepas negeri itu menjadi antara yang terawal dan terpantas menggunakan sepenuhnya dana RM800,000 yang disalurkan tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan tambahan itu.

“Pulau Pinang antara yang paling awal dan terpantas menghabiskan DSK. JBSN akan mengemukakan permohonan dan saya bersetuju supaya Pulau Pinang menerima dana tambahan.

“Saya mohon pertubuhan belia menggunakan dana itu sebaik mungkin, bergerak ke peringkat akar umbi dan memastikan program terus dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat Pulau Pinang malam ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen. 

Dr Mohammed Taufiq berkata DSK bukan sekadar menyokong aktiviti sukan dan usaha melahirkan lebih ramai atlet, malah menjadi platform untuk menghubungkan golongan muda dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata KBS turut menyalurkan Geran Padanan Sukan bagi Jendela 1 dan Jendela 2 berjumlah RM500,000 serta bantuan kepada Pertubuhan Belia 2026 sebanyak RM106,000 kepada Pulau Pinang.

Menurut beliau, peruntukan itu adalah antara pelaburan kerajaan bagi memperluas akses kepada aktiviti sukan komuniti, memperkasakan pertubuhan belia, menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan penyertaan anak muda dalam program pembangunan belia dan sukan.

“Saya mahu pertubuhan belia di Pulau Pinang aktif memohon dana SejaTi MADANI selepas Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM250 juta untuk manfaat pertubuhan belia di seluruh negara.

“Program pembangunan belia perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak bersifat sekali sahaja supaya dapat memberi impak tinggi serta manfaat langsung kepada golongan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan