EKONOMI

Agrobank Tubuh Pemudahan Perdagangan, Pengaturan Penyelesaian Pembayaran Dengan Uzbekistan

17/06/2026 10:28 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 17 Jun (Bernama) -- Agrobank menyasarkan untuk mewujudkan pengaturan pemudahan perdagangan dan penyelesaian pembayaran yang menghubungkan Malaysia dan Uzbekistan serta rantau Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS) dengan lebih meluas menjelang akhir tahun. 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata perbincangan dengan Agrobank Uzbekistan tertumpu kepada memudahkan perdagangan rentas sempadan, penyelesaian pembayaran dan perkhidmatan pertukaran asing antara Malaysia dan negara-negara di rantau itu, dalam usaha mereka mengembangkan perdagangan pertanian dan komoditi. 

Beliau berkata ketika ini Agrobank Malaysia tidak mempunyai wakil atau kehadiran di rantau CIS, dan kerjasama yang dicadangkan itu akan menandakan inisiatif pemudahan perdagangan pertama bank itu di Asia Tengah. 

“Kami cuba untuk memulakannya menjelang akhir tahun ini, kerana terdapat banyak peluang bagi kerjasama,” katanya sambil mengetengahkan bidang seperti eksport minyak sawit Malaysia dan import minyak bunga matahari serta produk lain dari rantau itu.

Ketika ditemui Bernama di sini hari ini, beliau berkata Uzbekistan boleh menjadi pintu masuk bagi perniagaan Malaysia yang ingin mendapatkan akses kepada pasaran CIS yang lebih meluas, termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan.

Tengku Ahmad Badli Shah merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Tashkent, Uzbekistan, yang diketuai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, yang dalam lawatan rasmi dari 11 hingga 17 Jun atas jemputan Menteri Pertanian Uzbekistan Ibrokhim Abdurakhmonov.

Beliau berkata Agrobank sedang bekerjasama dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk mengenal pasti syarikat yang boleh menerima manfaat daripada kerjasama tersebut, termasuk bagi tujuan eksport minyak sawit ke Uzbekistan, Rusia dan pasaran CIS yang lebih meluas. 

“Bersama-sama dengan KPK, kami telah mengenal pasti beberapa syarikat untuk mengeksport minyak sawit ke rantau ini dan Rusia.

“Kita boleh menjadikan Uzbekistan sebagai pemudah cara perdagangan, terutamanya menerusi Agrobank Uzbekistan, yang akan memudahkan pembayaran perdagangan bagi rantau itu,” katanya. 

Beliau menambah bahawa perbincangan dengan Agrobank Uzbekistan setakat ini menunjukkan hasil yang positif, dengan kedua-dua pihak mengalu-alukan kerjasama bagi memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Asia Tengah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan