AM

Tengku Mahkota Kelantan Terima Menghadap Fahmi Fadzil

17/06/2026 11:12 PM

KOTA BHARU, 17 Jun (Bernama) -- Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

Majlis berkenaan berlangsung di Istana Kota Lama di sini, dan bermula pada 5 petang, semalam.

Media Pejabat Sultan Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sesi berkenaan bertujuan menyembah maklum kepada baginda mengenai perkembangan terkini serta laporan berkaitan skop tugas Kementerian Komunikasi.

Antara perkara utama yang dipersembahkan termasuk isu-isu semasa dan gejala akaun palsu, yang semakin berleluasa dalam media sosial, khususnya melibatkan penyebaran berita palsu serta kandungan negatif berkaitan institusi diraja. 

Dalam majlis yang berlangsung kira-kira sejam itu, Tengku Muhammad Fakhry turut berkenan menerima cenderamata kenang-kenangan daripada Fahmi. 

Turut hadir pada majlis berkenaan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Komunikasi Mohamad Asif Afifi Mohd Yusof, Pegawai Pengiring kepada Menteri Komunikasi Tuan Ahmad Afifi Hamdan Tuan Aziz serta petugas Pejabat Menteri Komunikasi.

Majlis itu turut dihadiri oleh pegawai kanan dari Pejabat Sultan Kelantan, dan diakhiri dengan sesi ramah mesra serta sesi bergambar bersama para dif jemputan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan