POLITIK

PN Hentikan Khidmat Mohd Radzi, Mohamed Azmin Serta-merta - Ahmad Samsuri

18/06/2026 01:20 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran PN dengan menghentikan perkhidmatan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkuat kuasa serta-merta. 

Pengerusi PN Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan malam ini berkata langkah itu dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat. 

Beliau berkata Mohd Radzi yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN digantikan oleh Menteri Besar Kedah, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Datuk Seri Muhammad Sanusi pula diberhentikan daripada jawatan Bendahari PN dan digantikan oleh Subramaniam Surunaryan (Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia) . Timbalan Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin telah diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan itu. 

Ahmad Samsuri berkata penstrukturan semula itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan PN.

"Suatu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi PN," katanya.

 Sebelum ini, PAS secara rasmi mengumumkan bahawa parti itu menghentikan segala bentuk kerjasama politik dengan Bersatu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan