AM

UMT Tingkat Kedudukan Dalam QS World University Rangking 2027

18/06/2026 12:02 PM

KUALA NERUS, 18 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya meningkatkan kedudukan dalam QS World University Rankings (QS QUR) 2027 apabila berada dalam kelompok 701-710 universiti terbaik dunia berbanding kelompok 801-850, tahun lepas.

Naib Canselor UMT Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pencapaian itu berjaya meletakkan UMT dalam kalangan 47 peratus universiti terbaik dunia, sekali gus mencerminkan kemajuan berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan, jaringan antarabangsa serta kelestarian di peringkat global.

Beliau berkata kejayaan itu hasil usaha kolektif seluruh warga universiti termasuk pensyarah, penyelidikan, pelajar, alumni, staf pengurusan serta rakan strategik.

"Dalam aspek kelestarian UMT terus menunjukkan komitmen yang konsisten menerusi skor 63.9 peratus bagi petunjuk kelestarian, sekali gus menempatkan institusi dalam kalangan 10 terbaik bagi bidang berkenaan.

"Dalam penilaian QS WUR 2027, UMT juga mencatat prestasi memberangsangkan menerusi indikator Citations per Faculty (CPF) dengan indeks sitasi per staf akademik sebanyak 159.5, jauh mengatasi median global 59.9 dan meletakkannya dalam kelompok tujuh universiti terbaik di Malaysia bagi indikator tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamri berkata sebagai universiti yang terkenal dalam bidang marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan, UMT terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pembangunan ilmu dan penyelesaian berasaskan sains bagi menangani cabaran berkaitan lautan, perubahan iklim serta pembangunan mampan.

Beliau berkata sepanjang tempoh penilaian QS WUR 2027, UMT merekodkan lebih 6,900 penerbitan saintifik dan melebihi 100,000 sitasi ternormal, membuktikan kemampuan institusi dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi impak kepada komuniti akademik global.

"Pada masa sama, UMT terus memperkukuh hubungan strategik dengan industri serta memperluas kerjasama antarabangsa. Data QS turut menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UMT berada pada tahap 92.1 peratus, mencerminkan keupayaan graduannya memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

"Kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan universiti untuk memperhebat budaya penyelidikan dan inovasi, meningkatkan keterlihatan antarabangsa serta memperluas jaringan kolaborasi strategik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan