KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Penyedia penyelesaian siap guna, Sum Technology Holdings Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, merancang untuk memperkukuh operasinya di Malaysia dan Filipina.
Syarikat itu mencatatkan prestasi dagangan yang kukuh pada hari pertama penyenaraiannya.
Pada 9 pagi, saham syarikat meningkat 40 sen, premium sebanyak 12 sen daripada harga tawaran awam permulaannya sebanyak 28 sen, dengan 36.59 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Thiam Hing berkata syarikat sedang meneroka pelbagai projek yang berpotensi dalam beberapa sektor terutamanya pembangunan perindustrian dan pusat data di Filipina dan Johor.
Beliau berkata perbincangan mengenai fasa pengembangan seterusnya sedang dijalankan selepas projek sedia ada selesai.
“Mengenai perniagaan pusat data (di Filipina), baru-baru ini syarikat telah menyiapkan Fasa 1 dan dalam proses untuk memperoleh tanah tambahan di Filipina bagi menyokong pertumbuhan masa depan manakala perancangan untuk Fasa 2 dalam proses untuk dimuktamadkan.
“Syarikat sedang giat meneroka peluang untuk pembangunan seterusnya dalam pasaran tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.
Di Malaysia, Lee berkata Sum Technology sedang memajukan projek pusat datanya di Johor.
“Satu daripada blok (pusat data) hampir siap dan dijangka selesai pada Ogos ini manakala pembinaan satu lagi blok berjalan lancar dengan struktur utama telah siap dan keseluruhan kemudahan itu dijangka siap pada tahun ini.
“Perbincangan sedang dijalankan untuk pembangunan dua lagi blok pusat data dan dijangka siap pada tahun ini,” katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai impak daripada konflik Asia Barat terhadap rantaian bekalan, Lee berkata Sum Technology tidak terjejas berikutan mempunyai pangkalan pembekal yang pelbagai, terutamanya pembekal tempatan dan dari China.
“Sebarang konflik akan memberi impak kepada rantaian bekalan global. Bagaimanapun, pada peringkat ini, operasi kami tidak terjejas dengan ketara.
“Pada masa ini, kami memperoleh sebahagian besar bahan mentah dari China dan kami juga dapat menyokong operasi melalui kilang kami sendiri,” katanya.
Sum Technology ialah penyedia penyelesaian siap guna yang mengkhusus dalam bilik bersih, sistem mekanikal, elektrik, kemudahan sokongan dan pencegahan kebakaran untuk fasiliti yang sangat penting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial