AM

Pulau Pinang Sasar Sambutan HAWANA 2026 Berlangsung Dengan Jaya

18/06/2026 01:18 PM

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin dan berharap sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di negeri ini dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus mengukuhkan penghargaan terhadap peranan dan sumbangan pengamal media.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Komunikasi sejak dua hingga tiga bulan lepas bagi memastikan segala persiapan penganjuran acara berprestij itu berjalan lancar.

“Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena pada Sabtu ini manakala Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena HAWANA 2026 bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, esok.

“Kerajaan negeri turut memberikan sumbangan bagi menjayakan penganjuran program ini dan kita berharap HAWANA tahun ini berlangsung dengan jayanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun, dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.

Bersempena dengan sambutan itu, Karnival RIUH Pi HAWANA yang turut diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena bermula esok dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung.

Karnival RIUH Pi HAWANA menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.

Pengunjung turut disajikan dengan 16 persembahan pentas membabitkan artis tempatan antaranya Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng, dengan kemasukan percuma.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan