EKONOMI

MAG, AirBorneo Bekerjasama Pulihkan Operasi, Tingkat Ketersediaan Pesawat

18/06/2026 02:57 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) menerusi cabang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), MAB Engineering Services, kekal komited menyokong AirBorneo menerusi kerjasama penyelenggaraan sedia ada ketika syarikat penerbangan milik Sarawak itu berusaha mengatasi cabaran operasi yang dihadapi kebelakangan ini.

MAG berkata MAB Engineering Services terus menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan barisan, penyelenggaraan pangkalan dan komponen, selain sokongan pergudangan serta logistik kepada AirBorneo.

“Susulan gangguan operasi baru-baru ini, MAG terus berhubung rapat dengan AirBorneo sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong pemulihan operasinya dan meningkatkan ketersediaan pesawat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kumpulan itu berkata pihaknya juga sentiasa menilai semula pengaturan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti, di samping mempertingkat operasi, dengan semua pihak berkaitan bekerjasama bagi mengukuhkan kebolehpercayaan operasi serta meminimumkan gangguan kepada penumpang.

Penyedia perkhidmatan MRO AirBorneo ketika ini ialah Firefly Maintenance and Repair Organisation dan MAB Engineering.

Pengendali tunggal Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) itu baru-baru ini menjadi tumpuan susulan kelewatan dan pembatalan penerbangan yang menjejaskan beberapa laluan di Malaysia Timur, sekali gus mendorong syarikat penerbangan itu mengemukakan permohonan maaf kepada orang ramai.

Ia turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatannya, khususnya penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sebagai respons terhadap cabaran tersebut, AirBorneo sedang menilai semula pengaturan sokongan penyelenggaraan, strategi penyediaan alat ganti serta jangkaan tahap perkhidmatan bersama rakan kerjasama bagi memperkukuh daya tahan operasinya.

AirBorneo kini mengendalikan penerbangan ke 21 destinasi dengan pangkalan operasi utama di Kota Kinabalu dan Miri.

Armada syarikat penerbangan itu terdiri daripada lapan pesawat ATR 72-500 dan enam pesawat DHC-6-400 Twin Otter.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan