AM

Laksana Amanah Dengan Penuh Keikhlasan, Jauhi Penyelewengan - Raja Perlis

18/06/2026 03:11 PM

KANGAR, 18 Jun (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru rakyat melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan dan menjadikan pekerjaan sebagai ibadah serta menjauhi segala bentuk penyelewengan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah sesebuah negeri hanya akan benar-benar maju apabila rakyatnya berilmu, berintegriti, beradab dan bersatu padu.

“Kemajuan MADANI yang hakiki bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui ketinggian ilmu, kemuliaan adab, kekuatan budaya, kematangan pemikiran dan keutuhan nilai masyarakat.

“Hayatilah nilai-nilai MADANI dalam kehidupan seharian, perkukuh perpaduan, tingkatkan ilmu, pelihara adab dan laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda semasa menyempurnakan perasmian Majlis Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat negeri di Dewan 2020 di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kefahaman Islam yang sahih berpandukan al-Quran dan sunnah perlu diperkukuh manakala budaya politik matang dan beradab dipelihara serta rakyat diperkasakan agar lebih berdikari dan berdaya saing.

“Pembangunan ummah hendaklah terus menjadi keutamaan. Ia meliputi aspek agama, politik, ekonomi dan sosial. Sikap berani, bijak dan berdikari perlu diterapkan sebagai jati diri rakyat Perlis agar kita mampu membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” titah baginda.

Selain itu, Raja Perlis bertitah rakyat perlu bersedia mendepani cabaran semasa seperti perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), perubahan sosial dan ekonomi global dengan tidak sekadar menjadi pemerhati sebaliknya sebagai pencetus idea, peneraju perubahan dan penyumbang kepada kemajuan.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan pengurniaan Tokoh Maal Hijrah bagi negeri Perlis kepada Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Datuk Izham Mahmud.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan