EKONOMI

Malaysian Re, China Re Life Tandatangani Perjanjian Bersejarah Bagi Perlindungan Rawatan Kanser

18/06/2026 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) dan China Reinsurance Life Insurance Company Ltd (China Re Life) menandatangani perjanjian insurans semula untuk menyokong rangka kerja insurans semula yang pertama bagi perlindungan rawatan perubatan ketepatan kanser (CPM) di Malaysia.

Malaysian Re merupakan syarikat penanggung insurans semula nasional manakala China Re Life adalah salah satu syarikat penanggung insurans semula dan kesihatan yang terkemuka di Asia. 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat itu menyatakan perjanjian berkenaan mewujudkan rangka kerja insurans semula khusus yang pertama di Malaysia untuk perlindungan rawatan kanser tahap lanjutan, termasuk terapi sel CAR-T, terapi bersasar dan akses kepada rawatan onkologi di luar negara.

“Perjanjian ini menjadi tunjang utama kepada ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih luas, yang dibangunkan oleh Malaysian Re dengan kerjasama China Re Life.

“Daripada reka bentuk produk dan libat urus pasaran sehinggalah kepada penyertaan pengedar di bawah pengedaran pelbagai saluran, Malaysian Re membangunkan infrastruktur ke pasaran yang mengubah kapasiti insurans semula dan takaful semula kepada perlindungan yang mudah diakses dan sedia untuk pengguna,” tambahnya.

Malaysian Re melantik broker insurans semula, Beacon Global Risk Solutions Ltd untuk menyelaras ekosistem hujung ke hujung bagi inisiatif berkenaan.

“Di Malaysian Re, kami percaya insurans semula/takaful semula sepatutnya bukan sekadar memindahkan atau berkongsi risiko, tetapi ia harus membolehkan akses yang bermakna kepada perlindungan dan penjagaan.

“Memandangkan lebih 60 peratus pesakit kanser didiagnosis pada peringkat lewat, perjanjian dengan China Re Life ini merupakan satu pencapaian penting dalam meluaskan akses kepada rawatan kanser lanjutan dengan hasil rawatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf.

Sebagai syarikat penanggung insurans semula nasional Malaysia, beliau juga berkata Malaysian Re bangga dapat menyokong pembangunan penyelesaian kesihatan yang mampu milik dan inovatif. Syarikat itu amat berharap dapat meluaskan kerjasama merentasi segmen perubatan, insurans hayat dan takaful.

Sementara itu, Pengurus Besar China Re Life Li Qi berkata syarikat berkenaan telah membangunkan kedudukannya sebagai syarikat penanggung insurans semula hayat dan kesihatan yang terkemuka di Asia dengan menerokai kategori risiko yang kompleks dan kurang mendapat liputan, tetapi amat penting kepada kehidupan masyarakat.

“Kolaborasi kami dengan Malaysian Re dalam CPM merupakan manifestasi semula jadi daripada komitmen itu.

“Asia Tenggara berkongsi keperluan yang belum dipenuhi seperti yang telah kami atasi di China dan kami yakin kerjasama ini akan memberikan impak transformatif yang sama kepada berjuta-juta keluarga di seluruh rantau ini,” kata Qi.

Produk insurans/takaful CPM yang disokong oleh perjanjian itu, direka untuk meluaskan akses kepada penjagaan kanser berketepatan tinggi dengan menyediakan perlindungan bagi rawatan lanjutan terpilih.

Berdasarkan pengalaman China Re Life dalam menyokong model CPM berskala besar di China, Malaysian Re akan menyediakan kepada penanggung insurans dan pengendali takaful tempatan akses kepada kapasiti insurans semula/takaful semula khusus bagi segmen risiko yang semakin meningkat ini.

Produk yang ditawarkan ini juga termasuk manfaat rawatan di luar negara, yang membolehkan pesakit yang dilindungi mendapatkan rawatan di pusat onkologi terpilih di China apabila ia sesuai dari segi perubatan.

Kolaborasi ini juga mencerminkan kerjasama yang semakin berkembang antara Malaysia dan China dalam inovasi penjagaan kesihatan dan perlindungan insurans, dengan menggabungkan kepakaran antarabangsa serta keupayaan pasaran tempatan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah.

Berdasarkan pencapaian penting ini, kedua-dua pihak akan meneroka peluang untuk meluaskan kerjasama itu ke dalam segmen penyakit kritikal, jangka hayat dan penyelesaian pengurusan kesihatan di seluruh Asia Tenggara.

Selain itu, mereka juga sedang menerokai inisiatif untuk memperkukuh program pertukaran tenaga kerja dan kumpulan kerja teknikal bersama bagi mempercepatkan pemindahan keupayaan antara kedua-dua syarikat berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan