AM

Budaya Saling Menghormati Antara Asas Keharmonian Pegangan Rakyat - Raja Permaisuri Agong

19/06/2026 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Budaya saling menghormati merupakan antara asas keharmonian yang sentiasa menjadi pegangan rakyat Malaysia, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda bertitah ia sekali gus menyumbang kepada perpaduan serta kesejahteraan negara.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Raja Zarith Sofiah menitikberatkan betapa pentingnya memelihara adab dan nilai hormat-menghormati dalam kehidupan bermasyarakat sama ada di dalam atau luar negara.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan khususnya kepada umat Islam dalam negara akan petikan hadis riwayat Al-Bukhari,” menurut hantaran itu.

Petikan hadis daripada Abu Hurairah RA yang dimuat naik dalam hantaran itu ialah Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Mengimbau kembali, Raja Permaisuri Agong menyantuni serta beramah mesra bersama lebih 100 pelancong dari pelbagai negara di pintu masuk utama Istana Negara pada Februari lepas.

“Ini mencerminkan sifat mesra serta keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat dan pelancong yang berkunjung ke negara ini,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan