JENAYAH & MAHKAMAH

Sikap Tamak Punca Pelabur Kelantan Rugi RM5.18 Juta Terperdaya Sindiket Penipuan

20/06/2026 08:49 AM

KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Sikap tamak dan keinginan untuk meraih keuntungan lumayan dalam tempoh singkat dikenal pasti sebagai punca utama ramai individu di Kelantan terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan, yang mengakibatkan kerugian mencecah RM5.18 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penipuan pelaburan merekodkan jumlah kerugian tertinggi berbanding kategori jenayah komersial lain, termasuk membabitkan mangsa yang mengalami kerugian individu melebihi RM1 juta.

Beliau berkata kebanyakan mangsa terus memasukkan wang ke dalam skim pelaburan yang ditawarkan sindiket penipuan selepas terperdaya dengan janji pulangan lumayan sebelum menyedari mereka ditipu apabila kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

“Dalam kes pelaburan, nilai kerugian paling tinggi. Ada mangsa di Kelantan mengalami kerugian lebih RM1 juta.

“Mangsa biasanya memasukkan wang beberapa kali kerana percaya akan memperoleh keuntungan yang dijanjikan. Ada yang hanya menyedari ditipu selepas kerugian mencecah ratusan ribu ringgit atau lebih RM1 juta,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Yusoff berkata sindiket penipuan lazimnya menggunakan janji pulangan tinggi yang tidak munasabah bagi menarik minat pelabur.

Beliau berkata orang ramai perlu menggunakan pertimbangan rasional sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan, terutama apabila ditawarkan kadar keuntungan yang jauh lebih tinggi berbanding instrumen pelaburan yang sah.

“Kalau ada pihak menjanjikan keuntungan terlalu tinggi dalam tempoh singkat, orang ramai perlu berfikir secara rasional kerana institusi kewangan yang sah pun tidak mampu menawarkan pulangan sedemikian.

“Kebanyakan mangsa terpengaruh kerana mahu cepat kaya dan percaya mereka boleh memperoleh keuntungan besar dalam masa singkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jenayah komersial di Kelantan terus menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila jumlah kes bagi keseluruhan tahun lepas meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mohd Yusoff berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah kes jenayah komersial turut meningkat lebih 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas walaupun trend jenayah indeks di negeri itu terus menunjukkan penurunan.

“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, sebanyak 1,219 kertas siasatan dibuka bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 602 kes dalam tempoh sama tahun lepas, bertambah 617 kes.

“Jumlah kerugian pula meningkat daripada RM14.11 juta kepada RM20.84 juta, iaitu pertambahan RM6.73 juta,” katanya.

Mohd Yusoff berkata penipuan e-dagang merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 401 kes berbanding 141 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, penipuan pelaburan dalam talian mencatatkan jumlah kerugian tertinggi, iaitu RM5.18 juta berbanding RM3.87 juta pada tahun lepas.

Selain itu, kes penipuan kerja sambilan dalam talian menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada 42 kes kepada 127 kes manakala jumlah kerugian meningkat daripada RM553,470.05 kepada RM2.69 juta.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yusoff berkata beliau telah mengarahkan JSJK mempergiatkan kempen kesedaran menerusi pelbagai platform termasuk radio, televisyen dan media sosial bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai modus operandi sindiket penipuan.

Beliau berkata pendekatan konvensional seperti ceramah dan penggunaan papan iklan dilihat kurang berkesan kerana jenayah komersial memerlukan penerangan yang lebih terperinci dan berterusan.

“Jenayah komersial ini melibatkan soal kesedaran. Orang ramai perlu tahu bagaimana mereka boleh menjadi mangsa, bagaimana sindiket beroperasi dan cara untuk mengelakkan diri daripada diperdaya penipu.

“Sebab itu saya arahkan pegawai dan Ketua JSJK turun ke stesen radio serta televisyen untuk berkongsi maklumat dan memberi pendidikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata polis turut memanfaatkan platform media sosial termasuk TikTok PDRM Kelantan bagi menyebarkan maklumat berkaitan jenayah komersial selaras dengan trend semasa masyarakat yang lebih banyak mendapatkan maklumat menerusi telefon pintar.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan