JENAYAH & MAHKAMAH

Nenek Cedera Parah Dipukul Cucu Dengan Tukul Besi

20/06/2026 12:32 PM

DUNGUN, 20 Jun (Bernama) -- Seorang nenek berusia 79 tahun cedera parah, dipercayai dipukul cucunya menggunakan tukul besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.55 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila wanita warga emas itu menghalang cucu lelakinya berusia 25 tahun yang tinggal bersamanya untuk keluar rumah, sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.

“Suspek dipercayai telah menolak mangsa, sebelum bertindak memukul wanita berkenaan menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ab Halim berkata mangsa telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Beliau berkata polis telah menahan suspek yang memiliki kad pesakit mental bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala tukul besi yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan