AM

PM Anwar Ucap Takziah Atas Pemergian Bekas Presiden Timor-Leste

22/06/2026 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakyat Timor-Leste atas pemergian bekas presiden negara itu, Francisco Guterres.

Anwar dalam hantaran Facebook berkata Guterres adalah antara generasi yang berjuang untuk kemerdekaan Timor-Leste dan kekal komited terhadap kebebasan rakyatnya serta pembinaan sebuah negara demokrasi.

“Saya berduka dengan pemergian bekas Presiden Timor-Leste, Francisco Guterres. Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dan rakyat Timor-Leste,” katanya.

Anwar berkata Guterres lama terlibat dalam gerakan penentangan dan dikenali dengan nama Lú-Olo, sebelum kemudian menyumbang bakti kepada negaranya sebagai Presiden Parlimen Nasional dan Ketua Negara.

“Malaysia turut berkongsi kesedihan atas pemergian Guterres bersama rakyat Timor-Leste. Beliau akan dikenang di sini dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang,” katanya.

Timor Today News yang berpangkalan di Dili melaporkan Guterres, 71, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court di sini semalam selepas menerima rawatan intensif.

Guterres memegang jawatan sebagai Presiden Timor-Leste dari 2017 hingga 2022 dan merupakan antara tokoh penting dalam perjuangan kemerdekaan negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan