EKONOMI

Alliance Bank Lancar BizSmart Challenge Accelerator 2026, Tawar Hadiah Tunai RM2 Juta

22/06/2026 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd melancarkan “BizSmart® Challenge Accelerator” Edisi 2026, menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2 juta untuk mempercepat pertumbuan kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga yang berpotensi tinggi di negara ini.

Menurut bank itu, pemenang juga layak menerima pendedahan jenama dan latihan perniagaan serta pembiayaan sehingga RM20 juta pada kadar keutamaan untuk mendorong PKS berkembang lebih maju.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata walaupun ketidaktentuan geopolitik global masih berterusan, cabaran itu berperanan sebagai platform untuk syarikat pemula niaga dan PKS meningkatkan kemahiran masing-masing dalam situasi yang mencabar.

“Dalam keadaan sedemikian, peserta akan mengikuti sesi bimbingan dan program mentor.

“Sesi itu amat penting kerana mengajar pengasas dan syarikat pemula niaga untuk bekerjasama serta mengatasi cabaran yang dihadapi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran itu di sini, hari ini.

Alliance Bank menjelaskan menerusi cabaran itu, lebih RM6.2 juta telah dianugerahkan dalam bentuk hadiah wang tunai serta pendedahan media yang meluas.

Lebih 185 perniagaan telah dibantu melalui cabaran itu, dengan penyediaan modal serta bimbingan strategik yang diperlukan untuk berkembang dan bersaing dengan lebih berkesan dalam sektor masing-masing, jelasnya.

Kam berkata pada tahun ini, pihaknya memperluas lagi cabaran itu dengan memberikan lebih tumpuan kepada keperluan utama perniagaan iaitu akses kepada pelaburan dan sokongan modal, peluang pembiayaan alternatif selain perbankan tradisional, program pembangunan yang dipercepat serta bimbingan untuk mengukuhkan keupayaan perniagaan.

“Kami juga telah memperluas kelayakan penyertaan untuk menarik lebih banyak PKS yang berpotensi tinggi tahun ini, sekali gus memberikan pendedahan jenama yang lebih besar untuk membantu perniagaan meningkatkan kebolehlihatan masing-masing.

“Sudah tentu, kembalinya sesi pembentangan ringkas perancangan perniagaan utama, dengan usahawan mempunyai hanya 60 saat untuk meyakinkan para juri bahawa perniagaan mereka layak menerima peluang keemasan itu,” katanya ketika berucap.

Bersempena dengan cabaran tersebut, Alliance Bank akan menganjurkan Persidangan Perniagaan BizSmart® edisi ketiga pada 6 Okt, 2026.

Acara intensif sehari itu, bertemakan “Daripada Juara Tempatan kepada Ikon Nasional”, meraikan perjalanan syarikat tempatan yang memberi impak pada peringkat nasional, dengan menghimpunkan usahawan, pemilik perniagaan dan pembuat keputusan.

“Para peserta akan memperoleh pandangan praktikal mengenai gangguan digital, ketidaktentuan pasaran dan pembinaan jenama daripada pengasas industri, pelabur berpengalaman serta alumni yang berjaya.

“Seiring sambutan Hari MSME (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) Sedunia, promosi khas untuk tempoh terhad itu menawarkan tiket pada harga RM99 dari 22 hingga 28 Jun, 2026,” menurut kenyataan bank itu.

“BizSmart® Challenge Accelerator” Edisi 2026 terbuka kepada PKS dan syarikat pemula yang berdaftar di Malaysia merangkumi semua industri dan sektor.

Perniagaan yang layak mesti beroperasi di Malaysia antara satu hingga 10 tahun, dengan perolehan jualan tahunan antara RM500,000 hingga RM40 juta.

PKS yang berminat boleh mengemukakan permohonan mulai hari ini sehingga 2 Ogos, 2026.

Layari www.bizsmart.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Alliance Bank “BizSmart® Challenge Accelerator” Edisi 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan