EKONOMI

FTA Malaysia-Bangladesh Disasar Dimuktamadkan Pada 2027

22/06/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Bangladesh (MBFTA) disasar dapat dimuktamadkan pada 2027 sebagai satu perjanjian yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua negara, komprehensif serta berpandangan masa depan yang memaparkan amalan perdagangan global semasa.

Dalam kenyataan bersama bersempena dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman ke Malaysia yang berakhir hari ini, pemimpin kedua-dua negara itu turut menyambut baik kemajuan yang dicapai bagi memulakan rundingan MBFTA terbabit.

“Pemimpin Malaysia dan Bangladesh mengiktiraf kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Bangladesh kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.

“Selain itu, pemimpin dua negara itu turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama ekonomi selain memudah cara perdagangan dan pelaburan dua hala,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tarique mengalu-alukan kemajuan yang dicapai membabitkan penubuhan Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Bangladesh (JBC).

“Ini akan berperanan sebagai mekanisme institusi dua hala utama bagi dialog berstruktur serta pertukaran idea untuk memudah cara kerjasama aktif antara sektor swasta kedua-dua negara, sekali gus memperluas hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua perdana menteri Malaysia dan Bangladesh turut menegaskan kepentingan mengukuhkan lagi perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi mampan selain menggalakkan kerjasama lebih meluas yang merentasi sektor-sektor utama.

Aspek itu merangkumi telekomunikasi, tenaga, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, lebuh raya bertingkat serta prasarana digital awam.

Kenyataan itu memaklumkan, kedua-dua pemimpin menggalakkan kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan berkaitan, kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi, pembangunan bakat, padanan perniagaan serta perkongsian strategik.

Usaha sedemikian bertujuan menggalakkan penambahbaikan perindustrian, memperkukuhkan penglibatan dalam rantaian bekalan global serta serantau dan mewujudkan peluang pelaburan saling bermanfaat untuk kedua-dua negara.

Malaysia dan Bangladesh juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dua hala bagi menyokong pembangunan sektor halal Bangladesh.

“Kedua-dua pemimpin telah menegaskan lagi komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang termasuk pensijilan halal, pembangunan kerangka kawal selia, pembangunan kapsiti dan latihan profesional, penyelidikan dan inovasi serta pengukuhan institusi.”

Anwar dan Tarique juga, menurut kenyataan itu, mengiktiraf kepentingan transformasi digital sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan daya saing serta bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, teknologi kewangan atau fintech, tadbir urus digital, keselamatan siber dan teknologi baharu lain.

“Bangladesh telah mencadangkan satu kerangka kerjasama bakat dua hala yang membolehkan kedua-dua negara bersama membangunkan serta meningkatkan kemahiran siswazah kejuruteraan Bangladesh secara sistematik menerusi program berstruktur, termasuk pertukaran pakar dan perkongsian amalan yang terbaik.

“Kerjasama seumpamanya dapat menyumbang kepada ketahanan rantaian bekalan dan kerjasama serantau dalam industri semikonduktor,” menurutnya.

Dalam pada itu, Malaysia dan Bangladesh memperakui kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga sebagai tonggak hubungan ekonomi dua hala.

Ini termasuk menekankan kepentingan memanfaatkan sepenuhnya memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan membabitkan kerjasama dalam bidang pembekalan gas asli cecair (LNG), infrastruktur LNG, produk petroleum dan prasarana berkaitan bagi rundingan LNG secara terus antara Petronas dan PetroBangla.

Kenyataan bersama itu turut memaklumkan pelawaan Bangladesh kepada syarikat Malaysia untuk melabur dalam sektor tenaga, termasuk usaha cari gali minyak dan gas di Teluk Benggala, pengekstrakan  mineral belum diterokai seperti arang batu dan kapur serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.

“Kedua-dua pihak juga menggalakkan kerjasama antara syarikat tenaga nasional yang berkaitan serta pihak berkepentingan di pihak swasta untuk menggalakkan perkongsian jangka panjang yang saling memberi manfaat, sekali gus dapat menyumbang kepada keterjaminan tenaga, kemampanan serta pembangunan ekonomi di Malaysia dan Bangaldesh.”

Perdana Menteri Bangladesh itu dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada 21-22 Jun, 2026.

Susulan kunjungan itu, Anwar dan Tarique turut menyaksikan pertukaran MoU berkaitan kerjasama kebudayaan selain dua pertukaran nota melibatkan penyelidikan berkaitan antikeganasan serta galakan dan mudah cara pelaburan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan