KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat mengesyorkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi jawatankuasa berkenaan Yeo Bee Yin berkata cadangan itu bertujuan menangani jurang perwakilan wanita dalam institusi politik negara yang masih berada jauh di bawah sasaran minimum 30 peratus.
Beliau berkata cadangan itu melibatkan penggubalan Akta Pariti Gender dalam Perwakilan Politik (GPPRA), penubuhan Jawatankuasa Pariti Gender, penggunaan struktur sedia ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta mekanisme dana insentif bagi menggalakkan pencalonan dan kemenangan calon wanita.
“JPKP juga mengesyorkan supaya SPR mewajibkan parti politik mengemukakan laporan tahunan komposisi keahlian dan kepimpinan mengikut jantina pelbagai peringkat.
“Jawatankuasa mengesyorkan supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) melaksanakan konsultasi bersama dengan kepimpinan parti politik, sayap wanita parti, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat bagi memastikan pelaksanaan sasaran minimum 30 peratus perwakilan wanita,” katanya.
Teks pembentangan Yeo bertajuk "Kesaksamaan Gender Dalam Politik Malaysia ke Arah Sasaran 30 Peratus Penglibatan Wanita di Malaysia" itu dibacakan oleh Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan yang juga ahli JPKP berkenaan.
Menurut Yeo, jawatankuasa turut mengesyorkan supaya BHEUU dan Kementerian Kewangan merangka mekanisme pendanaan politik berasaskan insentif kewangan bagi meningkatkan pencalonan serta pemilihan wanita.
Cadangan itu, katanya, merangkumi insentif pembiayaan kempen pilihan raya melalui peruntukan sekali bayar selepas pilihan raya berdasarkan bilangan calon wanita yang layak dan jumlah undi diperoleh, selain insentif tahunan kepada wanita yang berjaya dipilih sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
JPKP itu turut mencadangkan agar pindaan Perlembagaan Persekutuan serta pengukuhan Dasar Wanita Negara bagi memasukkan sasaran kuantitatif minimum 30 peratus wanita dalam jawatan pembuat keputusan bagi semua peringkat kerajaan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
Jawatankuasa juga menegaskan bahawa sasaran 30 peratus itu tidak seharusnya terbatas kepada pilihan raya semata-mata, sebaliknya Kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai ruang yang lebih segera untuk melaksanakan sasaran itu dalam pelantikan jawatan membuat keputusan.
“Hal ini termasuk pelantikan Ahli Dewan Negara, Jemaah Menteri, pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, ahli majlis pihak berkuasa tempatan, jawatan kepimpinan negeri dan daerah, serta jawatankuasa pembangunan pada peringkat akar umbi,” katanya.
Penyata berkenaan turut dibahaskan oleh lapan Ahli Parlimen termasuk Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) dan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman).
Majoriti mereka bersetuju dengan cadangan menggubal akta baharu berkaitan kesaksamaan gender serta menambah jumlah wanita sebagai pembuat keputusan dalam politik, perkhidmatan awam serta sektor korporat dan swasta.
Mereka berpendapat bahawa halangan terbesar keterlibatan atau keterwakilan golongan itu bukan berpunca daripada isu bakat, kelayakan atau kemampuan, sebaliknya akses tidak seimbang dalam struktur sistem politik dan institusi.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial