EKONOMI

KOPSYA Catat Untung Bersih Sebanyak RM12.7 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

23/06/2026 10:21 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM12.7 juta bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan koperasi yang diyakini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi KOPSYA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-12 KOPSYA di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), semalam.

Abdul Fattah dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian tertinggi dalam sejarah KOPSYA itu membuktikan institusi milik anggota mampu mencapai prestasi cemerlang apabila diurus berlandaskan prinsip amanah, integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata ia juga menjadi penanda aras bahawa prinsip koperasi dan profesionalisme boleh bergerak seiring sekali gus membuktikan bahawa institusi milik anggota mampu bersaing dan mencapai prestasi yang cemerlang apabila diurus dengan amanah, integriti dan kecekapan

“Setakat ini, KOPSYA telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.3 bilion dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM874 juta kepada koperasi anggota dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk hartanah, perladangan, peruncitan dan kredit,” katanya.

Abdul Fattah berkata usaha KOPSYA meneroka pasaran modal Islam melalui penerbitan sukuk turut menunjukkan perkembangan positif apabila aset pembiayaan bernilai RM100 juta berjaya dilengkapkan dan dikemukakan kepada pihak berkaitan untuk penilaian seterusnya.

Katanya langkah itu dijangka membuka ruang kepada sumber pembiayaan yang lebih besar dan mampan bagi menyokong pertumbuhan koperasi anggota pada masa hadapan.  

Beliau berkata susulan sambutan menggalakkan selepas pembukaan cawangan pertama KOPSYA Ar-Rahnu di Saujana Utama, Sungai Buloh yang mula beroperasi November tahun lepas, koperasi itu kini dalam proses mengenal pasti lokasi strategik bagi pembukaan cawangan kedua. 

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi KOPSYA apabila dipilih semula menerusi Mesyuarat Lembaga Khas KOPSYA, manakala Datuk Mohd Jamil Othman kekal sebagai Timbalan Pengerusi KOPSYA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan