AM

Selamatkan 21 Nyawa, Pemandu Lori Terima Anugerah Khas Dan Sagu Hati

23/06/2026 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Keberanian seorang pemandu lori mempertaruhkan keselamatan diri dengan menggunakan kenderannya bagi menahan sebuah bas ekspres daripada terbabas, mendapat pengiktirafan apabila menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 daripada kerajaan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penghargaan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada Wong Tuck Meng, 40, atas tindakan pantas beliau menyelamatkan nyawa 21 penumpang bas dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Perak, pada 15 Jun lepas.

“Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia,” katanya pada majlis penghargaan khas di bangunan Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai kronologi kejadian, Loke berkata bas dalam perjalanan dari Kedah menuju ibu negara itu mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan sepenuhnya ketika menuruni bukit berhampiran terowong terbabit.

Loke berkata Wong telah bertindak tenang dengan membiarkan bas berkenaan “berpaut” pada kenderaannya bagi memperlahankan impak momentum selepas bas terbabit merempuh bahagian belakang lorinya.

“Bukan sahaja dapat memperlahankan, malah berjaya memberhentikan bas itu tanpa terbabas menggunakan lorinya dengan merapatkan kenderaan ke arah rel penghadang ketika menuruni bukit,” katanya.

Bagi Wong pula, tindakan spontannya itu dilakukan semata-mata demi memastikan rantaian kenderaan lain di hadapan mereka sempat menyelamatkan diri selain mengelak sebarang kehilangan nyawa.

“Saya hanya terfikir situasi macam itu, seboleh-bolehnya jangan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian. Jarak bas agak jauh sedikit jadi sempat untuk saya tekan hon bagi memberi masa kepada kereta-kereta di depan menyelamatkan diri,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Wong atas keberaniannya.

Penghargaan itu disampaikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas Loke membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Loke pada pembentangan itu turut memuji Wong dan menyifatkan beliau sebagai “wira negara” selepas tindakan pantasnya itu berjaya mengelakkan tragedi buruk, sekali gus membuktikan masih ramai individu yang sanggup bertindak membantu orang lain demi keselamatan awam walaupun tidak mendapat perhatian meluas.

Sebelum ini, video cemas memaparkan tindakan berani pemandu lori itu tular menerusi media sosial dan mendapat pujian daripada warga maya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan