EKONOMI

SIC, DC Union Bangunkan Pusat Data Bernilai RM2.5 Bilion

23/06/2026 05:27 PM

SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) memeterai perjanjian usahasama (JVA) bersama Data Centre Union Sdn Bhd (DC Union) untuk membangunankan pusat data berteknologi tinggi di Cyberjaya, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIC, Saharom Mohni berkata projek bernilai RM2.5 bilion dikendalikan SIC Quantum Data Centre Sdn Bhd (SQDC) berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi digital Selangor serta memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara.

“Usahasama strategik ini merupakan pencapaian signifikan bagi Kumpulan PKNS dalam meneroka sektor ekonomi digital yang menawarkan potensi pertumbuhan masa depan sangat besar.

“Kerjasama tersebut meletakkan SIC sebagai rakan strategik yang menyokong pembangunan infrastruktur digital negeri dengan mengaplikasikan piawaian industri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya selepas menandatangani JVA berkenaan di Ibu Pejabat PKNS, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saharom berkata projek berkapasiti 65 megawatt (MW) itu akan dilengkapi teknologi penyejukan rendaman penuh untuk meningkatkan kecekapan tenaga, selain menyokong agenda Selangor sebagai negeri pintar menerusi penyediaan infrastruktur digital yang selamat, cekap dan berdaya tahan tinggi.

“Projek berimpak ini turut merangkumi inisiatif penubuhan Sovereign AI Command Centre serta Centre of Excellence bertujuan khusus untuk memperkasakan keupayaan AI negara dan meningkatkan standard keselamatan data.

"Selain itu, pihak syarikat menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 500 jurutera bertauliah NVIDIA setiap tahun untuk memenuhi permintaan pasaran dalam bidang pengkomputeran awan serta menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DC Union, Yeep Teck Ann berkata bagi perancangan jangka panjang, syarikat turut memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM4.8 bilion khusus bagi pembangunan fasiliti pusat pengkomputeran AI (AI Factory) berprestasi tinggi untuk operasi pembelajaran mesin.

Beliau berkata perkembangan pesat teknologi AI di peringkat global kini telah melonjakkan permintaan terhadap infrastruktur digital pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Malaysia memiliki peluang keemasan sangat luas untuk muncul sebagai hab AI dan pusat infrastruktur digital paling terkemuka serta berpengaruh di seluruh rantau Asia Tenggara.

“Visi utama pihak kami bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan struktur fizikal, malah memberi penekanan mendalam terhadap pembinaan ekosistem digital menyeluruh yang menyokong pembangunan bakat tempatan serta kolaborasi strategik,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Yeep menzahirkan harapan supaya kolaborasi dijalinkan bersama Kerajaan Negeri Selangor, PKNS dan SIC itu akan terus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai pusat teknologi serta hab AI yang disegani di peringkat serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan