RAMALLAH, 23 Jun (Bernama) -- Operasi ketenteraan Israel telah mengorbankan 1,021 rakyat Palestin sejak pelaksanaan gencatan senjata di Gaza, menjadikan jumlah korban di wilayah itu meningkat kepada 73,032 orang sejak Oktober 2023, menurut Laporan Situasi terkini yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Palestin pada Selasa.
Pusat Komunikasi Kerajaan memaklumkan bahawa keadaan kemanusiaan di Gaza terus merosot berikutan pengeboman Israel dan sekatan terhadap penghantaran bantuan yang masih berterusan, dengan kekurangan air bersih yang serius memaksa kebanyakan penduduk bergantung kepada bekalan kemanusiaan yang terhad.
Menurut pusat itu, hampir satu juta rakyat Palestin kini tinggal di khemah selepas operasi ketenteraan Israel memusnahkan atau merosakkan 76.6 peratus daripada unit kediaman di Gaza, manakala sekatan yang berterusan terus menghambat operasi kemanusiaan di seluruh wilayah itu.
Laporan itu menyatakan serangan Israel sepanjang minggu lalu termasuk serangan udara dan dron di Nuseirat, Al-Mawasi, Khan Younis dan Bandaraya Gaza, yang mengakibatkan peningkatan jumlah korban dalam kalangan orang awam serta memburukkan lagi keadaan hidup penduduk.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), seramai 265 kanak-kanak Palestin terkorban dan lebih 400 yang lain cedera sejak pengumuman gencatan senjata itu, manakala Oxfam memaklumkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa sekatan Israel terus menghalang akses kemanusiaan dan penghantaran bantuan yang menyelamatkan nyawa.
Laporan itu turut mengetengahkan kebimbangan berhubung kawalan Israel terhadap kuasa perancangan dan pembinaan di Masjid Ibrahimi di Hebron, dengan menyatakan langkah itu menjejaskan pengaturan yang ditetapkan di bawah Perjanjian Hebron 1997 serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB melaporkan peningkatan ketara dalam pemindahan paksa rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, akibat serangan peneroka haram, perobohan rumah, sekatan pergerakan dan pengusiran paksa.
Kementerian Pertanian Palestin merekodkan kemusnahan 7,258 pokok, termasuk 1,270 pokok zaitun, serta menganggarkan kerugian kira-kira US$5.17 juta akibat serangan oleh peneroka haram dan tentera rejim Israel, manakala dua masjid turut menjadi sasaran serangan arson berasingan di kampung Jiljilya dan Mazre' al-Nubani.
Laporan itu menyatakan operasi ketenteraan Israel di kem pelarian Jenin, Tulkarem dan Nour Shams telah menyebabkan lebih 33,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal sejak Januari 2025, manakala institusi yang menguruskan tahanan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin merosot, kesesakan dan penularan penyakit di pusat tahanan Israel.
Walaupun konflik berterusan dan berdepan kekangan kewangan, kerajaan Palestin memaklumkan bahawa ia telah menyiapkan persiapan bagi Tawjihi (peperiksaan akhir sekolah menengah) tahun ini yang melibatkan kira-kira 91,000 pelajar, termasuk sekitar 37,000 pelajar di Gaza yang menduduki peperiksaan itu secara elektronik untuk tahun ketiga berturut-turut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial