AM

KPDN Buka Tuntutan Bayaran Balik Diesel Bagi Syarikat Belum Terima Kad Fleet Skds Mulai 1 Julai

24/06/2026 10:25 AM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersetuju membuka ruang permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mulai 1 Julai bagi syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan (WP) Labuan yang masih belum menerima kad fleet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kemudahan itu membolehkan syarikat yang layak membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu kad fleet diterima.

Beliau berkata penggunaan kad fleet di bawah SKDS untuk memanfaatkan subsidi diesel akan berkuat kuasa selaras dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di seluruh negara mulai 1 Julai.

“Kewajipan ini meliputi sektor pengangkutan darat awam dan sektor pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata melalui mekanisme itu, kedua-dua sektor berkenaan dengan jenis kenderaan yang disenaraikan akan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter untuk pengangkutan darat barangan.

Beliau berkata sehingga 22 Jun lepas, sebanyak 8,445 syarikat melibatkan 30,557 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 4,062 syarikat dengan 14,750 kenderaan, diikuti Sarawak sebanyak 4,108 syarikat dengan 15,030 kenderaan dan WP Labuan melibatkan 275 syarikat serta 777 kenderaan.

Beliau berkata pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam di ketiga-tiga wilayah itu telah dibuka sejak 10 Jun 2024 manakala peluasan kepada sektor pengangkutan darat barangan bermula 4 Mei lepas.

Menurut Armizan, pendaftaran untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel di bawah SKDS melibatkan dua proses, iaitu pendaftaran melalui portal MySubsidi dan permohonan kad fleet daripada syarikat minyak pilihan selepas menerima surat kelulusan SKDS.

“Kerajaan mengambil maklum bahawa proses pengeluaran dan penghantaran kad fleet oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses semakan dan pengurusan dalaman syarikat minyak masing-masing,” katanya.

Armizan berkata tuntutan bayaran balik tunai itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pemohon adalah syarikat pengangkutan darat awam atau barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan serta telah mendaftar di bawah SKDS dan memohon kad fleet sebelum atau pada 30 Jun.

Beliau berkata tuntutan itu meliputi pembelian diesel bermula 1 Julai hingga 31 Julai atau sehingga tarikh kad fleet diterima oleh syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal.

“Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui portal MySubsidi dan semua tuntutan wajib disokong dengan bukti resit pembelian diesel serta dimuat naik menerusi portal itu,” katanya.

Armizan berkata bayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKDS di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau turut menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan supaya segera membuat pendaftaran SKDS dan mengemukakan permohonan kad fleet bagi mempercepatkan proses pengeluarannya serta memastikan syarikat terus menikmati diesel bersubsidi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan