KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan prestasi cemerlang dengan purata kepatuhan melebihi 96 peratus bagi tempoh pemprosesan tuntutan dan bayaran faedah kepada pencarum sepanjang tahun lepas.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata bermula tahun lepas, PERKESO menetapkan Piagam Pelanggan lebih ketat bagi memproses permohonan selepas dokumen lengkap diterima, melibatkan semua faedah di bawah Skim LINDUNG Pekerja, Skim LINDUNG Kendiri dan Skim LINDUNG Kasih.
Beliau berkata tempoh pemprosesan dua hari ditetapkan bagi Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Hilang Upaya Sementara manakala tiga hari bagi Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Pencen Ilat, Faedah Penakat dan Faedah Orang Tanggungan.
“… manakala Piagam Pelanggan bagi Skim LINDUNG Kerjaya pada 2025 telah ditetapkan dua hari untuk kesemua faedah dari tarikh dokumen permohonan lengkap diterima.
“Pencapaian Prestasi Piagam Pelanggan PERKESO bagi keseluruhan proses tuntutan dan bayaran faedah secara purata bagi Skim LINDUNG Kerjaya adalah pada kadar 99.68 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ramanan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tempoh rasmi pemprosesan tuntutan PERKESO, tahap pematuhan serta penggunaan pendigitalan dalam mempercepatkan proses tuntutan pencarum.
Beliau berkata PERKESO dari semasa ke semasa sentiasa menambah baik sistem pengoperasian proses permohonan tuntutan dan bayaran faedah menerusi pendigitalan, termasuk melalui portal LINDUNGI Faedah PERKESO.
“PERKESO turut menaik taraf infrastruktur sistem pemprosesan faedah dalaman menerusi sistem 1Best yang telah digunakan sepenuhnya bermula tahun ini.
“Selain itu, aplikasi PRIHATIN juga diperkenalkan kepada pencarum, khususnya bagi mendapatkan informasi mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh PERKESO,” katanya,
Selain itu, Skuad PERKESO Prihatin (SPP) turut ditubuhkan bagi memberi khidmat nasihat, bimbingan dan bantuan terus kepada pencarum, waris serta orang berinsurans bagi melancarkan urusan tuntutan.
Beliau ketika menjawab soalan tambahan Mohd Isam mengenai cadangan mewujudkan mekanisme laluan pantas serta penyelarasan lebih cekap antara hospital, majikan dan PERKESO bagi kes kemalangan berkata sistem sedia ada telah diperkukuh melalui Sistem INSPIRE yang menghubungkan hospital dan PERKESO bagi mempercepatkan proses tuntutan.
“Bagi kes kecemasan, proses dipermudahkan dan boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai keberkesanan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam mengesan tuntutan palsu, Ramanan berkata PERKESO melaksanakan proses penilaian yang ketat dan berperingkat bagi memastikan ketulenan setiap tuntutan.
Beliau berkata penggunaan teknologi AI membantu proses saringan awal, namun semakan manual masih dilaksanakan sebagai kaedah semakan semula bagi memastikan ketepatan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial