KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kesinambungan polisi di bawah rangka kerja MADANI adalah penting bagi memastikan pembaharuan dapat dilaksanakan sepenuhnya dan diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang berkekalan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata konsistensi tadbir urus dan hala tuju pembaharuan amat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur, serta memastikan daya saing negara berterusan, berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan.
“Mandat penggal kedua akan memberikan kerajaan kestabilan dan kesinambungan yang diperlukan untuk memperkukuh pembaharuan struktur dan kapasiti institusi, serta merealisasikan sepenuhnya pelan transformasi ekonomi jangka panjang yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan selepas sesi sembang santai anjuran Kuala Lumpur Business Club, semalam.
Sesi bertemakan “Future Cities, Future Growth: How MADANI Reforms Are Reshaping Malaysia’s Urban Economy” itu menghimpunkan tokoh perniagaan dan pihak berkepentingan bagi membincangkan transformasi ekonomi Malaysia serta hala tuju pembangunan jangka panjang.
Nga berkata kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara konsisten telah mencatat kemajuan yang boleh diukur melalui pembaharuan dalam tadbir urus, pengurusan ekonomi dan penglibatan antarabangsa.
“Usaha itu telah mengukuhkan lagi keyakinan pelabur, meningkatkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan kedudukan Malaysia pada peringkat global,” katanya.
Nga turut menyentuh mengenai beberapa pencapaian utama, termasuk kemunculan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, yang disokong oleh dasar yang jelas, asas ekonomi kukuh serta kestabilan politik, selain prestasi perdagangan yang berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
Pencapaian lain termasuk peningkatan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), penarafan kredit antarabangsa yang lebih kukuh mencerminkan kredibiliti fiskal lebih baik, serta penglibatan diplomatik proaktif yang merintis laluan baharu bagi pelaburan dan kerjasama.
Antara lain termasuk perkongsian strategik bernilai RM52.73 bilion dengan Turkmenistan serta inisiatif kerjasama tenaga jangka panjang dengan Rusia.
“Pencapaian berkenaan mencerminkan hasil pembaharuan yang konsisten, pengurusan ekonomi berhemat serta dasar luar berteraskan perkongsian strategik, dan kemakmuran bersama,” kata Nga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial