EKONOMI

Malaysia Harus Bangunkan Enjin Pertumbuhan Untuk Sektor LAE - Loke

24/06/2026 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia harus meletakkan kedudukannya sebagai peserta aktif dalam sektor ekonomi altitud rendah (LAE) yang pesat membangun, ia berpotensi menjadi enjin pertumbuhan baharu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini.

Sektor LAE merangkumi dron, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), teksi udara dan pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL).

Beliau berkata Malaysia mempunyai asas kukuh dalam industri penerbangan dan aeroangkasa tradisional tetapi belum memanfaatkan peluang untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan dalam sektor LAE.

“Kita masih mengeluarkan dan menjalankan aktiviti MRO berdasarkan piawaian ditetapkan oleh Amerika Syarikat atau Eropah. Bagaimanapun bagi LAE, piawaian dan rangka kerja sedang dibangunkan di seluruh dunia dan Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk menulis rangka kerja dan piawaian kita sendiri,” katanya pada Forum Ekonomi Altitud Rendah 2026 yang julung kali diadakan di sini hari ini.

LAE merujuk kepada aktiviti ekonomi dan perkhidmatan awam yang dijalankan dalam ekosistem ruang udara altitud rendah melalui penggunaan teknologi seperti dron, Advanced Air Mobility (AAM), logistik udara, pemeriksaan infrastruktur, pertanian pintar dan perkhidmatan kecemasan.

Malaysia seharusnya memulakan reka bentuknya sendiri dan bukan sekadar menjadi pengikut, pada masa sama, mesti terlibat secara aktif dalam LAE dan ekosistemnya secara holistik kerana ia sudah mempunyai keupayaan kejuruteraan yang kukuh, ekonomi digital semakin berkembang dan lokasi strategik dalam ASEAN, katanya.

Beliau berkata terdapat pelbagai peluang dalam MRO, logistik, pelancongan, pertanian dan teknologi canggih, namun rangka kerja kawal selia yang jelas adalah asasnya.

“Tanpa garis panduan, sektor ini tidak akan berkembang maju, memandangkan keperluan untuk pengawasan keselamatan untuk penumpang dan kargo," katanya.

Menurut Loke, Kementerian Pengangkutan juga menugaskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk membangunkan rangka kerja LAE kawal selia yang komprehensif sebagai asas untuk menyokong integrasi ruang udara yang selamat, pengawasan operasi, pembangunan industri dan penyelesaian mobiliti masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan