AM

Eksport Nanas MD2 Ke New Zealand Dijangka Jana RM4.3 Juta Setahun - Mohamad

24/06/2026 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Eksport nanas segar varieti MD2 Malaysia ke New Zealand dijangka menjana kira-kira RM4.3 juta setahun, sekali gus membuka pasaran baharu bagi industri nanas negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Beliau berkata kejayaan menembusi pasaran New Zealand itu hasil kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pemain industri serta pihak berkaitan, susulan pengeluaran nanas MD2 di kawasan seluas lebih 121.4 hektar di Lanchang, Pahang.

“Pasaran eksport terbuka luas kerana nanas Malaysia agak terkenal dan berkualiti tinggi. Kita berharap syarikat ini turut boleh mengeksport ke negara lain pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan eksport nanas MD2 ke New Zealand hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak.

Mohamad berkata New Zealand menjadi pasaran baharu bagi nanas Malaysia yang sebelum ini lebih banyak dieksport ke negara Asia, selain ia juga membuka laluan ke rantau Pasifik.

Beliau berkata eksport hasil pertanian perlu dipertingkatkan bagi merapatkan jurang dagangan makanan negara.

“Kita import terlalu tinggi, lebih daripada RM80 bilion. Sekarang ini (eksport) sudah melebihi RM40 bilion dan meningkat dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata eksport nanas ke New Zealand turut mendapat manfaat Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA) termasuk beberapa pengecualian duti yang dapat meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran itu.

Pada 18 Julai tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata New Zealand meminta Malaysia meningkatkan eksport nanas susulan permintaan tinggi terhadap buah tropika itu.

Sementara itu, berhubung situasi di Selat Hormuz susulan konflik di Asia Barat, Mohamad berkata bekalan makanan negara kekal stabil dan dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Disember ini.

“Bekalan makanan sekarang stabil, insya-Allah. Kita akan membuat pengumuman awal kepada rakyat jika berlaku perubahan mendadak,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Pengeksport Nanas Malaysia (MAPEA) Wesley Tan Seah Ging berkata penghantaran sulung ke New Zealand melibatkan 22.5 tan metrik nanas MD2 atau 1,500 kotak pada esok dan dijangka tiba di Pelabuhan Auckland pada 13 Julai sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Aqina Fruits Sdn Bhd berkata eksport itu hasil daripada program pembangunan pengeluar bersama-sama FELDA di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang, yang membuktikan kemampuan pengeluar tempatan menghasilkan buah berkualiti tinggi untuk pasaran eksport.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan