EKONOMI

Lonjakan Permintaan AI Pacu Eksport Teknologi Asia, Pertumbuhan Malaysia -- S&P Global

24/06/2026 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Permintaan mendadak berkaitan kecerdasan buatan (AI) terbukti mendorong ledakan eksport teknologi, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi termasuk Malaysia, menurut S&P Global Ratings.

Menerusi laporan bertajuk “Economic Outlook Asia-Pacific Third Quarter 2026: AI-Exposed Markets To Outperform” (Tinjauan Ekonomi Asia Pasifik Suku Ketiga 2026 : Pasaran Terdedah AI Dijangka Catat Prestasi Memberangsangkan) dikeluarkan hari ini, S&P menyifatkan pertumbuhan eksport yang kukuh menjadi suntikan utama bagi negara atau ekonomi dengan penumpuan pembuatan yang tinggi.

“Ini terutamanya di Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam dan pada masa sama turut ketara di Singapura, tanah besar China selain Malaysia, Thailand serta Jepun,” menurutnya.

Pada masa sama, agensi penarafan global itu mengunjurkan penghantaran teknologi berkemungkinan meningkat kukuh pada 2026 dengan produk-produk seperti cip memori manakala pertambahan bahagian pertumbuhan eksport itu lebih didorong oleh kenaikan harga berbanding peningkatan jumlah eksport terbabit.

S&P memaklumkan, harga eksport keseluruhan pada April dalam denominasi dolar telah meningkat 31.6 peratus tahun ke tahun di Korea Selatan berbanding 17.4 peratus di Taiwan yang memaparkan pulangan dari sudut terma perdagangan walaupun di tengah-tengah lonjakan harga import tenaga.

Menurutnya, bagi sebahagian besar ekonomi dengan kepentingan pembuatan teknologi secara relatifnya tinggi, impak positif daripada ledakan eksport teknologi itu ternyata mengatasi kesan negatif akibat kejutan isu tenaga.

Bagi Asia Tenggara, S&P menyifatkan prospek rantau itu sebagai seimbang antara aktiviti berkaitan elektronik yang kukuh, permintaan domestik yang meluas selain tekanan tenaga.

“Selain mendapat manfaat daripada ledakan eksport teknologi, kebanyakan ekonomi Asia Tenggara turut menyaksikan pelaburan pusat data yang menyokong perbelanjaan pembinaan dan modal.

“Keadaan itu amat ketara di Malaysia, Thailand dan Vietnam. Secara menyeluruh, kami menurunkan sedikit unjuran bagi kawasan dengan semakan susut di Filipina selain unjuran stabil di kawasan lain.

“Ini berkait rapat dengan unjuran kami pada Mac lepas yang menyemak naik pertumbuhan itu di beberapa negara,” menurutnya.

Dalam pada itu di peringkat Asia Pasifik, agensi penarafan itu telah mengekalkan unjuran asas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi Mac 2026, kecuali China, pada kadar 4.5 peratus dan pertumbuhan 2027 diunjur pada 4.4 peratus.

Menurut S&P, prospek ekonomi Asia Pasifik juga dipengaruhi oleh aktiviti global yang berdaya tahan, tekanan pasaran tenaga serta ledakan eksport teknologi yang dipacu AI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan