SERDANG, 24 Jun (Bernama) -- Persatuan Golf Malaysia (MGA) memohon bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mewujudkan jawatan jurulatih kebangsaan tetap dalam usaha memperkukuh persiapan skuad negara menghadapi Sukan SEA 2027 di negara ini.
Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata perkara itu antara isu penting yang dibangkitkan dalam pertemuan terbaharu persatuan berkenaan bersama Ketua Setiausaha KBS Datuk Rahimi Ismail.
Beliau berkata MGA ketika ini tidak mempunyai jurulatih kebangsaan tetap, sekali gus berharap perkara itu dapat diberi perhatian dalam usaha merangka persiapan lebih tersusun bagi skuad negara.
“Setakat ini, kami tidak ada jurulatih kebangsaan yang tetap untuk MGA. Maka perkara ini juga dibincangkan bersama KBS.
“Memandangkan persiapan MGA untuk Sukan SEA 2027, kami telah memohon kalau KBS boleh membantu MGA untuk mewujudkan seorang jurulatih golf kebangsaan yang berkaliber,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Siri Remaja Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) Persatuan Golf Malaysia (MGA) 100PLUS 2026 di The Mines Resort & Golf Club di sini hari ini.
Mohd Anwar berkata kerjasama dengan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) penting bagi membantu MGA melaksanakan beberapa program serta menyelesaikan isu utama berkaitan pembangunan dan persiapan atlet.
“Beberapa isu telah dibangkitkan tentang hasrat MGA dan masa depan kami dalam meningkatkan sukan golf di Malaysia, terutama dari aspek bantuan daripada KBS.
“Kami akan bekerjasama dengan KBS dalam beberapa cadangan yang MGA ada. Kami juga akan bekerjasama dengan MSN bagi melihat bagaimana KBS boleh membantu MGA melancarkan beberapa program ataupun isu penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MGA telah merancang beberapa program persiapan menjelang temasya sukan dwitahunan itu yang dijadualkan berlangsung September tahun depan, termasuk kemungkinan menjalani latihan di Sarawak.
“Saya juga sudah berjumpa dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah baru-baru ini dan memohon bagaimana kerajaan Sarawak boleh membantu kami semasa membuat persiapan Sukan SEA nanti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial