AM

Malaysia Manfaat Penyertaan WMC Teroka Pelaburan Baharu, Pemindahan Teknologi - NRES

24/06/2026 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia memanfaatkan penyertaan dalam Kongres Perlombongan Sedunia (WMC) 2026 untuk meneroka peluang pelaburan baharu, memperkukuh pemindahan teknologi serta menjalin kerjasama strategik dengan rakan industri global dalam pembangunan industri pemprosesan hiliran dan mineral kritikal.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha berkenaan selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh rantaian nilai mineral, meningkatkan daya saing industri dan menyokong agenda pembangunan mineral yang mampan.

Kenyataan itu menyebut penglibatan Malaysia dalam WMC 2026 yang diadakan di Lima, Peru mengukuhkan lagi objektif strategik negara dalam menonjolkan potensi sektor mineral domestik yang berdaya saing, mapan dan berorientasikan masa hadapan bagi menyokong agenda peralihan tenaga global.

Delegasi negara diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, wakil kerajaan negeri Sabah, Sarawak dan pemain industri perlombongan Malaysia. 

Arthur turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat, Menteri Tenaga dan Perlombongan Peru Waldir Eloy Ayasta Mechan bagi membincangkan penyelarasan strategik ekosistem mineral kedua-dua negara.

“Fokus utama perbincangan tertumpu kepada pengukuhan tadbir urus mineral, kerjasama penyelidikan geosains, pemerkasaan standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan industri mineral yang mampan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Arthur dalam kenyataan sama berkata pasaran mineral global kini menuntut anjakan  strategik yang seimbang antara eksplorasi sumber dan tanggungjawab kelestarian.

“Sesi libat urus dua hala bersama rakan sejawat dari Peru mencerminkan satu anjakan penting dalam usaha membina rantaian bekalan mineral yang lebih berdaya tahan dan berintegriti tinggi.

“Malaysia dan Peru berkongsi visi sama untuk memposisikan sektor mineral sebagai pemacu utama ekonomi moden, khususnya melalui aplikasi amalan terbaik, inovasi teknologi dan tadbir urus korporat yang mantap. Kerjasama industri dan institusi yang lebih erat antara kedua-dua negara bakal membuka peluang pertumbuhan baharu yang mapan serta memberi impak ekonomi yang signifikan,” katanya.

Beliau berkata kapasiti Malaysia sebagai pengerusi kerjasama mineral ASEAN 2026 turut meletakkan negara pada kedudukan strategik untuk bertindak sebagai gerbang pelaburan utama bagi rantau Amerika Latin ke pasaran Asia Tenggara yang dinamik.

Arthur berkata dengan kekuatan pasaran melebihi 680 juta penduduk, ASEAN menawarkan potensi pasaran meluas bagi rantaian bekalan tenaga bersih, teknologi pembuatan termaju dan infrastruktur mapan.  

Dalam perkembangan lain, NRES memaklumkan penganjuran Forum Pelaburan Mineral ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini akan menjadi platform komersial utama untuk mempertemukan penggubal dasar, pelabur global dan peneraju industri korporat.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan