KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) tidak memulakan prosiding disiplin terhadap baki tujuh pemain daripada skuad sepak takraw kebangsaan Thailand susulan insiden ketika final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di sini, bulan lepas.
ISTAF dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memutuskan pemain regu pertama dan kedua skuad itu tidak dikenakan prosiding disiplin selepas Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Disiplinnya meneliti rayuan serta representasi yang dikemukakan Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT).
Menurut persekutuan itu, pemain terlibat sebaliknya akan dikenakan amaran rasmi dan dikehendaki menandatangani aku janji bagi menegaskan komitmen terhadap semangat kesukanan, penghormatan kepada pegawai perlawanan serta pematuhan terhadap perlembagaan, peraturan dan undang-undang ISTAF.
Tujuh pemain berkenaan ialah Marukin Phanmakon (ketua pasukan), Jirasak Pakbuangoen, Porhthep Tinbangbon dan Kritsada Sunvung daripada regu pertama manakala Wuttinun Kamsanor (ketua pasukan), Tanaphon Sapyen dan Kritsanapong Nontakote daripada regu kedua.
“ISTAF mengambil maklum bahawa atlet daripada regu pertama dan kedua telah menamatkan perlawanan masing-masing dan penglibatan mereka dalam insiden yang membawa kepada pembatalan perlawanan akhir itu adalah terhad.
“Persekutuan berpendapat adalah adil dan wajar bahawa individu yang tidak terlibat secara langsung tidak diseret sama dalam prosiding disiplin utama tanpa keperluan,” katanya.
Bagaimanapun, prosiding disiplin terhadap lima pemain daripada regu ketiga Thailand bersama jurulatih berkaitan serta pengurus pasukan akan diteruskan mengikut perlembagaan dan peraturan tatatertib ISTAF.
Final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini pada 23 Mei lepas dicemari kontroversi selepas Thailand menarik diri sebagai membantah keputusan pengadil, dengan Malaysia kemudiannya diisytiharkan menang 2-1.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial