AM

UniSZA Pacu Inovasi Sektor Pembuatan Makanan Tempatan Melalui 10 Produk Baharu

24/06/2026 06:47 PM

JERTIH, 24 Jun (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) terus memacu inovasi dalam sektor pembuatan makanan tempatan menerusi ciptaan 10 produk makanan baharu oleh mahasiswanya melalui program Produk Makanan Baharu 2026.

Dekan FBIM Prof Dr Hafizan Juahir berkata program yang memasuki edisi ke-17 pada tahun ini mengetengahkan produk berasaskan labu dan cili sebagai usaha mengembangkan potensi sumber pertanian tempatan.

“Sebanyak 10 kumpulan pelajar Sarjana Muda Teknologi Makanan dan Sarjana Muda Pembangunan Makanan Halal bersaing mencipta produk baharu yang tersendiri.

“Program ini memberi cabaran besar kepada pelajar untuk membangunkan produk makanan baharu yang berdaya saing mengikut kreativiti masing-masing,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Produk Makanan Baharu 2026 di UniSZA Kampus Besut, di sini hari ini. 

Beliau berkata program tersebut pada tahun ini turut disertai tiga pelajar mobiliti antarabangsa daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei yang turut berkongsi idea dan pengalaman di negara mereka.

Hafizan berkata antara ciptaan pelajar ialah yogurt beku, sira labu, nuget berasaskan labu, gula-gula kenyal labu dan snek rangup berasaskan cili. 

Pada majlis tersebut, kumpulan Embere yang diketuai Anis Insyirah Abd Razak, 25, dinobatkan sebagai johan menerusi produk inovasi yogurt beku berasaskan labu.

Anis Insyirah berkata kumpulannya mengambil masa selama 12 minggu untuk menghasilkan produk makanan itu yang diinspirasikan daripada pencuci mulut tradisional Malaysia, iaitu pengat labu.

“Produk kami dihasilkan menggunakan gabungan yogurt Greek, puri labu, santan dan gula melaka. Ia sekali gus memberikan rasa yang berkrim, menyegarkan dan unik kepada pengguna.

“Selain mengetengahkan cita rasa tradisi, produk yogurt ini turut diperkaya dengan khasiat probiotik serta bahan semula jadi, menjadikannya pilihan pencuci mulut yang jauh lebih sihat, berkhasiat serta enak dalam pasaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan