KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan penyeludupan vape ke Thailand menerusi rampasan 1,800 unit pod vape pelbagai perisa bernilai kira-kira RM180,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Lubok Setol, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi kira-kira 6 petang oleh anggota Batalion 8 PGA dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun bagi membantu siasatan.
Beliau berkata risikan dan pemantauan mendapati premis itu dijadikan lokasi penyimpanan sebelum pod vape itu diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram sekitar Rantau Panjang bagi memenuhi permintaan di negara tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai penjaga stor menerima penghantaran pod vape dari Kuala Lumpur melalui perkhidmatan kurier untuk dihantar ke Thailand. Modus operandi sindiket ialah menggunakan premis yang tidak mencurigakan sebagai tempat penyimpanan sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata soal siasat mendapati suspek terlibat dalam aktiviti itu kira-kira dua tahun lepas dengan upah RM20 bagi setiap kotak pod vape yang diuruskan, selain dipercayai berurusan dengan seorang lelaki Thailand yang menguruskan tempahan serta penghantaran bekalan itu.
Beliau berkata suspek dan kesemua pod vape diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial