LABUAN, 24 Jun (Bernama) -- Labuan hari ini memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan komuniti sihat dan aktif dengan pembukaan Taman Rekreasi Awam Labuan di Tanjung Purun susulan kerja naik taraf bernilai RM495,382 di bawah inisiatif Taman Rekreasi MADANI.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata taman itu direka bentuk sebagai ruang awam inklusif yang membolehkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur beriadah dan mengeratkan hubungan.
“Pembangunan taman ini mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan ruang awam berkualiti yang menggalakkan gaya hidup sihat, selain meningkatkan kualiti hidup penduduk Labuan.
“Kami berharap taman ini terus menjadi lokasi yang meriah untuk keluarga, peminat aktiviti kecergasan dan pengunjung berkumpul,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan taman itu hari ini.
Projek berkenaan yang dibiayai oleh Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2024, telah mentransformasikan bekas Padang LDA daripada kawasan awam yang kurang dimanfaatkan kepada kemudahan rekreasi moden.
Beliau berkata tapak berkenaan dipilih berikutan lokasinya yang strategik di pusat bandar, mempunyai akses yang baik, keluasan tanah yang bersesuaian serta tidak mempunyai isu berkaitan pemilikan tanah.
“Dahulu, kawasan berkenaan berdepan dengan masalah pencahayaan, kemudahan rekreasi yang terhad serta pokok ru yang telah berusia dan menimbulkan risiko keselamatan, menyebabkan kawasan itu kurang dimanfaatkan meskipun mempunyai lokasi yang strategik,” katanya.
Taman yang dinaik taraf itu kini dilengkapi kemudahan yang lebih menarik, trek joging sejauh 800 meter, bangku konkrit serta peralatan senaman luar, sekali gus menjadikannya antara lokasi pilihan di Labuan untuk aktiviti riadah.
Rithuan berkata Perbadanan Labuan akan terus menambah baik taman berkenaan dengan kemudahan rekreasi tambahan, termasuk tiga gelanggang sukan terbuka untuk permainan pickleball dan sepak takraw yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya memainkan peranan dalam memelihara kemudahan berkenaan bagi memastikan ia kekal dalam keadaan baik untuk manfaat seluruh komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial