SEREMBAN, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 127 tong gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai anggaran RM16,000 dalam serbuan ke atas sebuah stor tidak berlesen menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu di Kuala Sawah di sini hari ini.
Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata serbuan itu dijalankan hasil pemantauan dan risikan selama seminggu oleh pihaknya ke atas sebuah premis yang dipercayai menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah sejak enam bulan lepas.
"Rampasan melibatkan tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50kg, selain beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana dipercayai menjalankan aktiviti urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, katanya, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda boleh mencecah RM5 juta.
Muhammad Zahir berkata KPDN negeri akan terus mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan seluruh ekosistem perdagangan mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial