KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa sistem agihan zakat menerusi perasmian Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Batu di Jalan Pelangi 10, Taman Pelangi, di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata pembukaan pusat komuniti moden itu bertujuan memastikan proses agihan zakat dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, selesa dan mudah diakses oleh penduduk setempat.
"PAZA Batu bukan sekadar berfungsi sebagai pusat perkhidmatan di kaunter, malah turut memainkan peranan mendekati masyarakat melalui pelbagai program kebajikan dan turun padang," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata sehingga 23 Jun lepas, MAIWP mengagihkan sebanyak RM505.6 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan serta program pembangunan modal insan.
Sempena perasmian pusat itu, sebanyak 50 bakul makanan bernilai RM100 setiap satu diagihkan kepada penerima yang memerlukan, disusuli dengan program 'Ziarah Kasih' ke rumah-rumah asnaf di sekitar Parlimen Batu, khususnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu.
Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam untuk terus menyuburkan ekosistem zakat demi memastikan tiada asnaf yang tercicir.
“Ayuh umat Islam, kita terus suburkan ekosistem zakat yang profesional ini demi memastikan tiada asnaf yang tercicir daripada perhatian, insya-Allah!,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial