AM

Haim Hilman Didakwa Buat Kenyataan Cetus Kebimbangan Awam

25/06/2026 12:03 PM

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, pada 13 Jun lepas.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Haim Hilman, 53, didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam sehingga berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam antara 8 malam hingga 12 tengah malam, 13 Jun lepas di Markas PAS Seremban, Jalan Jelebu di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Ku Hayati Ku Haron yang mengendalikan kes berkenaan memohon agar OKS dikenakan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah. 

Peguam Mohd Fauzi Che Abu yang mewakili Haim Hilman memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 serta memaklumkan OKS yang merupakan Exco kanan Kerajaan Negeri Kedah, kerap menggunakan pasport bagi menjalankan urusan rasmi kerajaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 15 Jun lepas, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius tuduhan tidak berasas Haim Hilman berkaitan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan